KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berikrar, Malaysia akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia.
“Malam tadi, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya.
Tegas Perdana Menteri lagi, Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran.
“Kita akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.
“Kita juga akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
“Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka! seru Anwar.



