PUO teroka ekosistem AI dalam TVET, transformasi PolyCC

Oleh Zihan Zari

IPOH – Forum Akademik Kebangsaan “AI dalam TVET: Wacana dan Perspektif Transformasi PolyCC” anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) melalui Center for Applied Artificial Intelligence Technology (CAAiT) merupakan platform perkongsian ilmu, wacana strategik serta pandangan pelbagai pihak mengenai kepentingan penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam memperkasa sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

Hasil perbincangan dan pandangan daripada forum ini akan menjadi input yang bernilai untuk memacu transformasi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) ke arah yang lebih progresif, inovatif, dan kompetitif, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Perasmian Forum Akademik Kebangsaan “AI dalam TVET: Wacana dan Perspektif Transformasi PolyCC” di Hotel Casuarina Meru, dekat sini, baru-baru ini.

“Seiring dengan tema forum iaitu AI Pemacu Transformasi TVET Pintar dan Relevan dan semoga usaha murni ini menjadi titik tolak kepada transformasi TVET Malaysia yang lebih dinamik dan berimpak tinggi.

“Sesi forum ini diharap akan menghasilkan idea-idea bernas dan hala tuju yang jelas bagi memastikan politeknik dan kolej komuniti terus menjadi institusi terdepan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi,”katanya.

Dr. Shamsuri turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada CAAiT atas kejayaan penganjuran forum ini.

Menerusi kenyataan PUO berkata, forum sehari ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengurusan, pensyarah PolyCC, wakil Malaysian Qualifications Agency (MQA), serta pihak industri.

Ujarnya, diskusi berfokus kepada potensi aplikasi AI dalam meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, latihan kemahiran dan ekosistem TVET negara.

“Forum ini juga berperanan sebagai platform strategik untuk mengumpul pandangan bersama dalam merangka hala tuju transformasi PolyCC agar terus progresif dan seiring dengan perkembangan teknologi global.

“Antara objektif utama penganjurannya, meneroka potensi aplikasi teknologi AI dalam TVET bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, dan latihan kemahiran.

“Selain itu, mengumpul pandangan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi transformasi TVET berasaskan teknologi AI, serta membina hala tuju bersama dalam melahirkan tenaga kerja TVET yang relevan, berdaya saing, dan bersedia menghadapi keperluan industri berasaskan AI, ”ujarnya lagi.

Untuk rekod, CAAiT ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan bagi memperkasa penerapan teknologi AI di PolyCC.

Dengan fokus membangunkan ekosistem AI yang praktikal, inklusif, dan berorientasikan industri, CAAiT berperanan penting dalam menyokong transformasi TVET Malaysia agar seiring dengan arus Revolusi Industri 4.0 dan keperluan global semasa.

Sepanjang penubuhannya, CAAiT telah melaksanakan pelbagai siri program berimpak tinggi termasuk penandaarasan di institusi pendidikan di Melbourne; Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat (HEJIM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Pusat Kecerdasan Buatan & Robotik (CAIRO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain memacu kolaborasi bersama industri antarabangsa, inisiatif ini turut diperkukuh dengan program-program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang memberi manfaat secara langsung kepada para akademik dan pelajar.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat