Kumpulan ‘Circle 19’ minta Zara mengaku curi dompet, tapi dia nafi dan akui sudah berubah – saksi ke-10

KUALA LUMPUR – Salah seorang ahli kumpulan yang dikenali sebagai Circle 19 telah meminta pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir untuk mengaku bahawa dia telah mencuri dompet milik rakan dormnya.

Zara Qairina bagaimanapun menafikan ada berbuat demikian dan turut menyatakan dia telah berubah.

Kenyataan yang dibuat oleh saksi kanak-kanak ke-10 itu dimaklumkan oleh peguam Azhier Farhan Arisin ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini yang memasuki hari ke-20, lapor Utusan di Kota Kinabalu pada Khamis.

“Saksi ada beritahu pada 15 Julai lalu, kawan sebiliknya (dorm A3-6) mengadu kepadanya yang dompet berisi duit dan kad pengenalan telah hilang dan dia mengesyaki Zara yang mengambilnya. Saksi kemudian meminta pelajar lain untuk memanggil Zara ke dorm A3-6.

“Semasa Zara datang berjumpa dengan saksi dan selepas bertanya, Zara mengetahui mengenai kes dompet hilang tetapi menafikan ada mengambil dompet berkenaan. Zara juga ada bersumpah `Wallahi’ di hadapan pelajar yang kehilangan dompet dan turut beritahu bahawa dia tidak lagi mencuri dan telah berubah.

“Saksi juga beritahu, sebelum sempat dia menyuruh Zara balik ke biliknya, datang tiga lagi senior ke dorm A3-6 dan bertanya Zara mengenai barang yang dijumpai dalam loker Zara.

“Masa itu saksi ada cakap “Kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga” namun Zara tidak mengaku. Selepas itu, saksi kata dia tidak lagi bertanya apa-apa kepada Zara dan tidak juga masuk campur ketika senior lain menyoal remaja terbabit,” kata peguam itu.

Terdahulu, saksi inkues ke-20 tu memberitahu, dia mengenali Zara Qairina kerana mereka tinggal di blok asrama yang sama (Blok A, Rabiatul Adawiyah) dan mereka tinggal bersebelahan bilik (Zara Qairina tinggal di Dorm A3-5).

Saksi turut memberitahu dia tidak lagi tinggal di asrama berkenaan sejak 7 September lalu namun masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.

Saksi kanak-kanak itu juga memberitahu selain dirinya, terdapat 13 orang ahli kumpulan Circle 19 yang masih bersekolah di sekolah sama manakala lima daripadanya telah berpindah sekolah.

Sementara itu, peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina memberitahu, saksi kanak-kanak itu dalam keterangannya menyatakan dia tidak melihat sebarang reaksi daripada remaja terbabit ketika meninggalkan dorm berkenaan.

Bagaimanapun dia juga tidak mengetahui berapa lama Zara Qairina berada disoal oleh senior lain di dorm berkenaan.

Tambah peguam itu, saksi itu kemudian tidur sekitar pukul 10 malam di dorm berlainan bersama rakan-rakannya yang lain dan tidak keluar daripada bilik berkenaan sehingga pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.

“Saksi berkata dia dikejutkan oleh kawannya dan saksi diberitahu mengenai Zara yang terbaring di bawah (asrama). Dia berkata dia terkejut melihat keadaan Zara dari tangga aras 3,”kata peguam itu dalam satu kenyataan media.

Tambah Shahlan, saksi memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menyertai kumpulan pelajar dikenali sebagai Circle 19 yang terdiri daripada 19 orang pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain.

“Semua ahli kumpulan pelajar adalah dari kelas tingkatan yang sama tetapi mereka tinggal di blok asrama yang berlainan,”kata peguam itu.

Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat