WHO menggesa negara berhenti memberikan dos ketiga vaksin

- Advertisement -

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara berhenti memberikan dos ketiga vaksin penggalak COVID-19 hingga akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata tindakan itu akan memanfaatkan jutaan orang yang masih belum menerima sebarang inokulasi.

“Saya tidak akan berdiam diri ketika syarikat dan negara yang mengendalikan bekalan vaksin global berpendapat golongan miskin dunia harus puas hati dengan sisa vaksin.

“Justeru, saya mendesak negara kaya dan pengeluar vaksin mengutamakan pemberian vaksin dos pertama kepada pekerja kesihatan dan penduduk yang rentan di negara miskin, tangguhkan dulu pemberian vaksin penggalak.

“Kita tidak mahu melihat penggunaan dos penggalak secara meluas diberikan kepada orang yang sihat yang sudah lengkap vaksin sepenuhnya,” katanya kepada media dari ibu pejabat WHO di Geneva.

WHO bulan lalu meminta moratorium vaksin penggalak COVID-19 sehingga akhir September untuk mengatasi ketidaksamaan pengagihan antara negara kaya dan miskin.

Bagaimanapun, Tedros mengakui keadaan kini hanya menunjukkan sedikit perubahan dalam pengagihan vaksin global sejak kebelakangan ini.

“Jadi, hari ini saya meminta moratorium tu dilanjutkan hingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini.

“Negara berpendapatan tinggi berjanji untuk menyumbangkan lebih satu bilion dos vaksin kepada negara miskin, bagaimanapun sehingga kini kurang 15 peratus dos sudah disalurkan.

“Kami tidak mahu lagi hanya sekadar janji , kami hanya mahukan vaksin,” tegas beliau.

Di samping penangguhan moratorium, beberapa negara mahu pemberian vaksin oleh negara kaya bukan hanya tertumpu kepada kumpulan rentan saja tetapi keseluruhan penduduk yang masih belum menerima vaksin.

Tambahan pula, ketika ini wujud kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian Delta, yang mana kes jangkitan akibatnya semakin meningkat.

WHO mengakui bahawa dos tambahan mungkin diperlukan untuk orang yang mengalami gangguan imunisasi tetapi menekankan penerima vaksin yang sihat perlu mendahulukan orang yang berisiko terkena jangkitan.

Pengarah Imunisasi WHO, Kate O’Brien, berkata tidak ada kes yang begitu mendesak sehingga perlu diberikan dos penggalak.

WHO menetapkan sasaran global setiap negara perlu memberikan vaksin sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah penduduk pada akhir bulan ini dan sekurang-kurangnya 40 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sasaran itu juga menetapkan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk dunia divaksinasi menjelang pertengahan tahun depan.

Mengulas lanjut, Tedros menyatakan kebimbangan beliau apabila 90 peratus negara kaya sudah melepasi sasaran 10 peratus dan lebih 70 peratus negara sudah mencapai sasaran 40 peratus vaksinasi.

Namun, katanya, tidak ada satu negara berpendapatan rendah yang mencapai salah satu sasaran yang ditetapkan itu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pertubuhan industri farmaseutikal bahawa tujuh negara terkaya di dunia, yang dikenali sebagai G7, sekarang memiliki cukup vaksin untuk semua orang dewasa dan remaja.

Blok itu kini menawarkan dos penggalak kepada kumpulan berisiko, sekali gus tidak lagi menumpukan kepada perkongsian vaksin dengan negara miskin.

“Saya terkejut apabila membaca kenyataan ini kerana pada hakikatnya, pengeluar dan negara berpendapatan tinggi sememangnya berkemampuan.

“Bukan saja mereka mampu beri suntikan penggalak kepada kumpulan berisiko tinggi di negara mereka, malah pada masa sama mampu menyokong vaksinasi penduduk di negara kurang berkemampuan,” katanya.

-Berita Harian/ AFP

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat