Undi Keabsahan PM Tidak Perlu, Azhar Harun Kekal Speaker Dewan Rakyat

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Undi percaya ti­dak akan dilaksanakan di De­wan Rakyat bagi mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Men­teri di Jabatan Perdana Men­teri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam bahawa Ahli Parlimen Bera ter­sebut tidak memerlukan usul undi keabsahan selepas me­ngangkat sumpah jawatan pada 21 Ogos lalu.

Turut senada adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa pihak Parlimen setakat semalam ti­dak menerima sebarang usul undi percaya daripada Perdana Menteri untuk membenarkan kedudukannya diabsahkan da­lam Dewan Rakyat.

Menguatkan lagi perkara itu adalah perkongsian Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen oleh Ahli Parlimen Lembah Pan­tai, Fahmi Fadzil menerusi laman laman sosial Twitternya semalam berhubung perkara itu.

Ciapan Fahmi juga tidak me­nunjukkan sebarang usul me­ngosongkan jawatan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.
Sebaliknya, yang terdapat dalam Aturan Urusan Mes­yua­rat itu hanyalah memilih Timbalan Yang Dipertua bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak ja­watan.

Wan Junaidi pada sidang akh­bar di sini berkata, Ismail Sabri tidak memerlukan usul undi keabsahan bagi pelantikan dirinya pada persidangan De­wan Rakyat yang akan datang.

Topik keabsahan itu dibang­kitkan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mendakwa Ismail Sabri memerlukan undi percaya.

Ia ‘panas’ apabila Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan bagi usul tersebut kerana sudah memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, berdasarkan pengalaman sebagai Ahli Par­limen, isu usul sedemikian ha­nya berlaku dua kali dan itupun kerana kedudukan ke­rajaan amat kuat.

“Perkara ini berlaku ketika era Tun Hussein Onn pada 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila mereka sendiri mengusulkan keabsahan itu bagi mengesahkan kedudukan,” katanya.

Sebaliknya, ujar beliau, usul tersebut tidak dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri yang lain kerana memang tiada keperluan untuk berbuat demikian di Parlimen.

Justeru, kata beliau, usul berkenaan tidak diperlukan pada masa ini apatah lagi Ismail Sabri baru dilantik.
Ini kerana, kata bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, dari segi tempoh singkat selepas pelantikan, adalah mustahil ahli-ahli Dewan Rakyat berubah fikiran selepas bertemu Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bulan lalu.

“Perdana Menteri sudah dapat perakuan 114 ahli Parlimen malah, setiap daripada mereka datang menghadap Seri Paduka sendiri selain pe­rakuan bertulis yang dihantar sebelum itu.

Maka dari segi masa, adalah tidak mungkin ada yang tiba-tiba berubah sokongan, kecualilah selepas enam bulan kemudian, ada kebarangkalian mereka bertukar pendirian,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ra­shid berkata, Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen yang dikeluarkan setakat semalam adalah usul yang dihantar 14 hari sebelum bermulanya persida­ngan pada 13 September ini.

“Itu kena tanya Perdana Menteri. Sebab beliau Ketua Majlis. Setakat ini, itulah Atu­ran Urusan Mesyuarat yang dikeluarkan 14 hari sebelum 13 September,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, sebarang usul daripada kerajaan masih lagi diterima walaupun sehari sebelum persida­ngan bermula.
“Ya, kalau ada usul daripada kerajaan, satu hari sebelum, itu peraturannya,” jelasnya.

Terdahulu, Fahmi menerusi Twitternya menjelaskan, soalan pertama pada 14 September ini adalah soalan daripada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd. Sharif, di­ikuti Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Usul: Pilih timbalan spea­ker, perintah Dewan kepada KPN (Ketua Polis Negara) untuk tidak halang MP ke Parlimen (dan) usul menjunjung kasih.

“Tiada usul percaya terhadap PM9 @IsmailSabri60,” ciap Fahmi.

-UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat