Oleh Zihan Zari
IPOH – Bagi melahirkan komuniti kampus yang berilmu, berfikiran kritis dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, Politeknik Ungku Omar (PUO) telah meluncurkan Program TELAAH di Dewan Jubli Perak PUO, dekat sini, baru-baru ini.
TELAAH merupakan inisiatif Perpustakaan Tan Sri Othman Merican di sini, bertujuan membudayakan amalan membaca serta memupuk minat terhadap pembacaan dalam kalangan seluruh warga kampus. Ia selaras dengan aspirasi memperkasa modal insan berteraskan budaya ilmu.
Peluncuran TELAAH telah disempurnakan oleh Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh sempena Perhimpunan Bulanan Warga PUO Bilangan 2 Tahun 2026 bertemakan ‘Memperkasa Modal Insan ke Arah Jiwa Merdeka’.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik (TPA), Norman Zamri (TPA) PUO; dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (TPSA) PUO, Hj. Mohd Fakrul Razi Jamaluddin.
Seramai 200 warga PUO pelbagai lapisan peringkat telah menghadiri perhimpunan ini anjuran bersama Jabatan Perdagangan dan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan. Ianya sebagai wadah memperkukuh budaya kerja cemerlang, semangat patriotisme dan pembangunan modal insan menjelang sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Dr. Salmi yang menyampaikan amanat kepimpinan bertajuk ‘Tegas dalam Nilai, Cemerlang dalam Tindakan’ telah menyarankan seluruh warga PUO dapat menghayati budaya kerja T.E.G.A.S (Tuntas, Efisien, Gigih, Amanah dan Sinergi) sebagai pemacu kecemerlangan institusi.
Katanya, kekuatan sesebuah institusi pendidikan bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal dan teknologi, sebaliknya terletak pada modal insan yang berintegriti, kompeten, dan berdaya saing serta bersedia memimpin perubahan demi memastikan PUO terus kekal sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diyakini industri dan disegani masyarakat.
Beliau turut menyeru seluruh warga agar terus menghayati semangat ‘Tegas dalam Nilai, Cemerlang dalam Tindakan’ serta berganding bahu memperkukuh budaya ilmu, integriti dan kecemerlangan demi merealisasikan aspirasi PUO sebagai peneraju pendidikan TVET negara.
Pada masa sama, penyampaian Anugerah Pencapaian Staf diberikan kepada warga yang telah mengharumkan nama PUO di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk penerima Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 kategori Institusi Terbaik, anugerah inovasi serta PUO Digital Innovation Challenge 2026.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan (APCB) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan prestasi cemerlang warga kerja, selain sesi taaruf bagi menyambut pegawai serta kakitangan baharu yang menyertai keluarga besar PUO. – SUARA.TV


