Tiada Jaminan Tukar PM Kes Covid-19 Akan Berakhir – Felo Kanan MPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertukaran perdana menteri bukan satu jaminan angka COVID-19 akan berakhir, tegas Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.

Katanya, banyak faktor lain yang menentukan jumlah kes jangkitan pandemik, terutama kehadiran varian baharu kini yang sudah di luar kawalan banyak negara.

“Yang penting sekarang, semua pihak bekerjasama, bukan sahaja menyerahkan kepada perdana menteri, kerana perdana menteri sebenarnya bergantung kepada ahli Kabinetnya dan kakitangan kerajaan terutama yang berkaitan dengan kesihatan awam, termasuk menteri kesihatan dan ketua pengarah kesihatan.

“Jadi, paling penting bagaimana mereka melahirkan idea baharu, pendekatan yang lebih ampuh, dasar dan langkah yang lebih baik dengan keluar daripada kebiasaan yang telah diamalkan sebelum ini, yang mungkin dilihat lemah atau gagal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu kata Jeniri, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dengan menyertakan pakar dari luar, pihak industri, pembangkang dan ahli akademik dalam usaha menangani isu pandemik.

Jelasnya, kejayaan sesebuah negara dalam isu membendung COVID-19 bukan hanya bergantung kepada angka jangkitan tetapi juga pertumbuhan ekonomi, sektor dibuka serta peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Pada Khamis, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menegaskan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan secara terhormat selepas hilang keabsahan susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

Jelas kenyataan itu, ini kerana, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokongnya.

Jeniri berkata, kumpulan berkenaan mempunyai kepentingan politik semata-mata, selain menegaskan, hal ehwal negara, rakyat dan menangani pandemik seharusnya berada di hadapan berbanding isu lain.

Paling penting, tambahnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berada di landasan betul selain memperbaiki langkah strategi menangani COVID-19 dan menjamin tidak timbul isu melibatkan kesusahan rakyat.

-Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat