Pelajar IPT Dibenar Pulang Bercuti Secara Berfasa Bermula 12 Julai – Dr Noraini

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang telah tamat sesi akademik 2020/2021 akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berfasa bermula 12 Julai 2021 ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurut Dr Noraini, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 8 Julai lalu, susulan cuti semester yang dijadualkan bermula 12 Julai hingga Oktober depan.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan para pelajar di IPT secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal.

“Bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” ujarnya, dipetik dari Facebook beliau, hari ini.

Dr Noraini berkata, bagi pelajar IPT dalam kawasan PKPD mereka hanya dibenarkan pulang selepas tamat tempoh PKPD.

“KPT telah menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh IPT masing-masing dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan. Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang.

“Bagi pelajar yang pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan, kos ujian calitan (swab test) RT-PCR akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan. Kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya.

Ujarnya lagi, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah menjadi keutamaan KPT ketika pergerakan pulang pelajar berlangsung.

“Pihak yang terlibat boleh merujuk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan FAQ Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan perincian maklumat berkenaan pergerakan pelajar.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat