Malaysia Berhak Batal Permit Warga Asing Yang Burukkan Negara Ini – Peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas Malaysia menerusi Jabatan Imigresen untuk membatalkan permit atau pas warga asing yang memburukkan nama negara ini adalah tepat dan selaras dengan undang-undang.

Memetik laporan FMT, Peguam A Srimurugan berkata, Malaysia berhak mengambil tindakan tersebut kerana Seksyen 9 Akta Imigresen 1953 (Akta 155) memberi kuasa kepada ketua pengarah imigresen untuk membatalkan sebarang pas atau permit atas faktor keselamatan awam.

“Apabila rakyat Malaysia pergi ke negara lain, mereka perlu mematuhi undang-undang negara yang dilawati tanpa mengira pandangan mereka.

“Jika rakyat asing datang ke Malaysia dan membuat kenyataan tidak senonoh, kerajaan berhak membatalkan visa atau permit mereka,” katanya.

Peguam itu turut menolak dakwaan kononnya tindakan tegas sedemikian akan memberi kesan ke atas kebebasan bersuara, sebaliknya beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan kebebasan bersuara kepada warganegaranya.

“Sebelum membatalkan permit atau visa, kerajaan bertanggungjawab untuk memberitahu mereka mengenai alasan pembatalan itu,” katanya, dipetik dari laporan itu.

Bagaimanapun menurutnya lagi, tidak semua kenyataan yang dibuat warga asing akan menyebabkan permit mereka dibatalkan.

“Hanya jika mereka memburukkan nama Malaysia atau jika niat mereka untuk memfitnah negara,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud memberi amaran kepada warga asing di negara ini bahawa pas mereka akan dibatalkan jika didapati mengeluarkan kenyataan tidak tepat yang boleh merosakkan imej Malaysia.

Sebelum itu, Al Jazeera menerusi program 101 East menyiarkan laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menuduh berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin di Malaysia ketika operasi mencegah penularan wabak Covid-19 baru-baru ini.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat