CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh hari ini menyelar insiden yang berlaku di TCE Baby Expo, di mana Jalur Gemilang yang dipaparkan di pentas salah satu booth didapati tidak mempunyai simbol bulan sabit, sambil menegaskan bahawa permohonan maaf sahaja tidak mencukupi.
Memetik laporan sebelum ini, kejadian yang tular di media sosial itu mencetuskan kemarahan ramai kerana bendera Malaysia yang dipaparkan hanya menunjukkan 14 jalur dan bintang pecah 14, tanpa simbol bulan sabit – satu unsur penting yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Akmal menegaskan bahawa undang-undang yang lebih tegas perlu digubal agar tiada lagi mana-mana pihak memperlekehkan identiti negara.
“Selagi tidak gubal undang-undang untuk kenakan hukuman yang berat pada mereka ini, selagi itulah negara ini diperlekehkan sebegini rupa tanpa rasa hormat,” tegas beliau di akaun media sosialnya hari ini.
Beliau juga membdas tindakan sesetengah pihak yang hanya bertindak selepas kes dikesan dan mendapat perhatian awam.
“Buat dulu, baru minta maaf,” sindirnya.
Dalam kenyataan sinis, Akmal turut menyoal sama ada akan ada menteri yang tampil membuat taklimat kepada penganjur expo tersebut sebagaimana pendekatan yang pernah digunakan dalam kes-kes kontroversi terdahulu.
Sementara itu, penganjur TCE Baby Expo dalam kenyataan rasmi telah memohon maaf atas kejadian tersebut dan menegaskan bahawa booth Singapore Lactation Bakes™️ yang terlibat telah dihentikan operasinya serta-merta. Mereka turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankn.