Perak Kedua Tertinggi Rekod Jumlah Penduduk Selesai Terima Dua Dos Vaksin – Saarani

- Advertisement -

TANJUNG MALIM – Perak menjadi negeri kedua tertinggi merekodkan jumlah penduduk yang sudah menerima vaksin dos kedua Covid-19 selepas Selangor.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan sehingga 7 Jun lalu, seramai 104,742 rakyat negeri ini sudah menerima suntikan dos kedua, selepas Selangor seramai 145,973 penerima.

Menurutnya perkembangan itu didorong pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program Jangkauan Komuniti yang dilaksanakan secara agresif di negeri ini sejak 11 Mei lalu.

“Antara kejayaan yang dicapai melalui program Jangkauan Komuniti ini ialah kesemua 3,194 warga emas yang mendiami 118 pusat jagaan serta tiga buah Rumah Seri Kenangan di Perak sudah mendaftar dan menerima suntikan dos pertama vaksin.

“Melalui inisiatif ini juga, sehingga 6 Jun lalu seramai 3,750 orang daripada 4,131 pesakit dialisis yang mendapatkan rawatan di 78 pusat dialisis kerajaan dan swasta di seluruh negeri telah melengkapkan dos kedua manakala selebihnya sedang menunggu giliran,” katanya kepada pemberita selepas melawat Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri yakin dengan pelbagai inisiatif yang sedang dalam proses pelaksanaan termasuk program vaksinasi secara pandu lalu dan pembelian vaksin secara terus daripada pihak Pharmaniaga, ia akan memantapkan lagi program vaksinasi di Perak.

Sementara itu, mengulas PKPD di PSAS Behrang bermula hari ini sehingga 22 Jun, Saarani berkata, sehingga semalam seramai 50 pelajar di pusat pengajian itu positif Covid-19.

“Terdapat 129 kakitangan dan ahli keluarga PSAS yang tinggal dikuarters serta 602 pelajar yang berada di asrama selepas pulang daripada kampung halaman untuk menjalani latihan amali.

“Pada 3 Jun, pihak kesihatan menjalankan ujian calitan ke atas 169 pelajar, manakala semalam seramai 117 lagi telah menjalani ujian yang sama dan Jabatan Kesihatan Perak sedang berusaha untuk menjalankan saringan ke atas baki yang belum menjalaninya,” katanya.

Saarani berkata, seramai 135 pelajar PSAS yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Arena Badminton di daerah Kinta.

“Kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan pelajar-pelajar ini dan bekalan makanan mencukupi untuk pelajar di sini.

“Mereka dibekalkan makanan yang sudah siap masak sebanyak tiga kali sehari dan kita juga akan menambah bekalan makanan tambahan melibatkan minum pagi, minum petang dan minum malam,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat