KUALA LUMPUR – Kenaikan menggila harga diesel ke paras RM6.72 seliter bukan sekadar angka, ia adalah bukti kegagalan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus tekanan kos sara hidup rakyat secara berkesan.
Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris mengingatkan, puak PH, BN dan DAP tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan “faktor global”.
“Sedangkan kesan sebenar ditanggung oleh peniaga kecil, pengangkut, dan akhirnya seluruh rakyat melalui kenaikan harga barang, manakala Thailand negara bukan pengeluar mengambil tindakan tuntas turunkan harga diesel 27 sen hari ini.
“Seperkara lagi yang lebih membimbangkan ialah pendekatan dasar yang dilihat tergesa-gesa manakala subsidi ditarik atau disusun semula tanpa jaringan perlindungan yang benar-benar kukuh dan menyeluruh.
“Rakyat tidak menolak reformasi yang sudah basi, tetapi mereka menolak beban yang dipindahkan secara mengejut tanpa kesiapsiagaan.
“Di mana mekanisme kawalan harga yang tegas? Di mana jaminan bahawa kos ini tidak akan terus melimpah ke semua sektor? soal Adun Kijal itu.
Menurut beliau, kepimpinan PH, BN dan DAP hari ini perlu lebih daripada sekadar retorik reformasi dah membasi tapi ianya menuntut tindakan yang tepat, berperingkat, dan berperikemanusiaan.
“Jika tidak, Madani dilihat gagal memahami denyut nadi rakyat dan itu adalah kelemahan paling besar bagi mana-mana pentadbiran,” bidas beliau.



