Ahirine impi banyak filem aksi, lasak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Siapa sangka di sebalik raut wajah dan personaliti lemah lembut, pengacara yang kini bergelar pelakon, Ahirine Ahirudin, 26, lebih menggemari watak lasak.

Pernah menjayakan watak lasak menerusi filem Rempit 2 dan drama The Bridge, Ahirine berkata, minat mendalam terhadap sukan lasak sejak kecil mendorongnya mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.

“Jujurnya, saya memang bercita-cita mahu menjadi pelakon. Awalnya, saya banyak menjayakan babak aksi ngeri. Contohnya dalam filem Rempit 2 dan drama The Bridge.

“Dari situlah, saya diberi kepercayaan menjayakan watak lasak. Saya pernah ditugaskan menjadi penunggang motosikal bagi watak Nabila Huda menerusi filem Rempit 2. Namun, pada pertengahan penggambaran, produksi menawarkan saya untuk berlakon.

“Ia seperti mimpi menjadi kenyataan, memandangkan saya memang minat berlakon. Tiada sebab untuk saya menolak,” katanya kepada BH Online.

Ahirine yang pernah menimba pengalaman sebagai wartawan penyiaran mempunyai latar belakang dalam bidang automotif, justeru, anak kedua daripada tiga beradik itu menyemat impian membintangi lebih banyak filem aksi.

“Saya banyak menonton filem aksi, jadi mempunyai minat yang tinggi membintangi filem bergenre sedemikian.

“Tidak menafikan, watak lasak mempunyai risiko. Saya juga sebenarnya pernah mengalami kecederaan di kepala dan dada disebabkan jatuh motosikal.

“Namun, disebabkan minat, ketakutan saya tolak tepi. Ini kerana nama pun sukan lasak, jadi kita kena pandai mengawalnya dan menanggung risiko,” katanya.

 

Ahirine teruja diberi kepercayaan membawa watak heroin buat kali pertama menerusi filem Gadis Jolobu The Movie bergandingan dengan Hattan. - Foto IG Ahirine Ahirudin
Ahirine teruja diberi kepercayaan membawa watak heroin buat kali pertama menerusi filem Gadis Jolobu The Movie bergandingan dengan Hattan. – Foto IG Ahirine Ahirudin

 

Ahirine ditemui pada sidang media pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie, di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gadis Jolobu The Movie, filem dialek Negeri Sembilan yang juga projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd.

Ahirine teruja diberi kepercayaan membawa watak heroin buat kali pertama, selain berpeluang bekerjasama dengan pelakon dan pelawak hebat seperti Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan mereka. Saya bersyukur dan teruja dapat bekerja dengan nama-nama besar dalam industri lakonan.

“Harapnya, mereka boleh memberi tunjuk ajar kerana saya masih baharu dalam dunia lakonan,” katanya.

Filem Gadis Jolobu The Movie memulakan penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan pada bulan lalu.

Menerusi filem arahan CL Hor itu, Ahirine akan menjayakan watak gadis Negeri Sembilan bernama Jijah.

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah komedi tiga bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman di Negeri Sembilan.

Filem yang bakal dipasarkan ke peringkat global itu mengetengahkan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat