KUALA LUMPUR,- Spekulasi berhubung rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan kembali hangat, dengan beberapa pemerhati politik menjangka ia hanya akan diumumkan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah selesai dan kabinet mencapai tempoh matang tiga tahun selepas 3 Disember ini.
Menurut sumber politik yang rapat dengan Putrajaya, rombakan kali ini dijangka melibatkan penyusunan semula beberapa portfolio utama termasuk ekonomi dan hal ehwal agama.
Sumber berkenaan mendakwa, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak dapat menjabat jawatan Menteri kerana telah melalui had maksimum dua penggal sebagai senator bakal dilantik ke peranan baharu sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri bertaraf Menteri.
Pelantikan seumpama itu pernah digunakan oleh beberapa pentadbiran terdahulu bagi mengekalkan tokoh teknokrat di dalam struktur pentadbiran tanpa keahlian Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Dalam masa sama, dua lagi menteri berstatus senator Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka kekal dalam kabinet dengan potfolio yang sama.
Bagaimanapun, terdapat cakap-cakap bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mungkin digugurkan daripada barisan kabinet baharu.
Rombakan tersebut juga dijangka membuka ruang kepada satu atau dua pelantikan tokoh teknokrat, termasuk bagi mengisi kekosongan kementerian yang ditinggalkan menteri yang meletak jawatan sebelum ini.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung rombakan tersebut. Anwar sebelum ini hanya menyatakan beliau terbuka mengemaskinikan kabinet “pada masa yang sesuai”, namun enggan mengulas lanjut.
Penganalisis berpendapat, rombakan pasca PRN Sabah akan memberi Perdana Menteri ruang menstrukturkan semula kabinet berdasarkan prestasi, tekanan politik, serta keperluan menghadapi pilihan raya umum yang dijangka pada penghujung 2026 atau awal tahun 2027.



