Mandi Champagne: Islam tak ajar penganutnya normalisasi maksiat atas alasan ‘budaya antarabangsa’ – Pas

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari tampil memperbetul kenyataan bekas pemimpin DAP Datuk Teng Chang Khim yang mengatakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz tidak perlu memohon maaf atas tindakannya sewaktu melakukan “semburan champagne” meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.

“Saya terpanggil untuk betulkan sikit hujah songsang ini.

“Orang ini menulis bahawa tak perlu minta maaf jika terlibat dengan “champagne shower” kerana ia hanyalah adat kemenangan sukan antarabangsa. Katanya, tak salah kalau tak minum cukup sekadar berdiri di situ.

“Oleh kerana dia menulis menyentuh disiplin Muslim. Saya harap dia faham bahawa Islam tidak mengajar penganutnya menormalisasi maksiat atas alasan “budaya antarabangsa”, tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Jelas Fadhli, dalam Islam arak bukan sekadar minuman haram semua bentuk keterlibatan dengannya, walau sekadar hadir atau menyokong suasananya, tetap berdosa.

“Nabi kami Muhammad bersabda: “Allah melaknat arak, peminumnya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya, yang memerahnya, yang meminta diperahkan, yang membawanya, yang dihantar kepadanya, dan yang memakan hasil jualannya.” Riwayat Abu Dawud (no. 3674), Ibn Majah (no. 3380), dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (no. 5091).

“Dan dalam hadis lain, Rasulullah bersabda:“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk di meja yang dihidangkan padanya arak.”
Riwayat Ahmad (no. 14241), al-Tirmizi (no. 2801) hadis hasan sahih.

“Perhatikan betul-betul Baginda tidak berkata “kalau tak minum tak mengapa”, tapi baginda melarang sekadar duduk sekali pun dalam suasana arak dihidangkan. Itu bukan “terlalu sensitif”, tetapi itulah tanda iman dan penjagaan maruah akidah,” hurai beliau.

Justeru tegas Fadhli, “kalau larangan duduk pun sudah jelas, apatah lagi kalau bertepuk tangan di bawah pancuran “champagne” sambil tersenyum bangga atas alasan “sukan antarabangsa”.

“Jangan sampai kita lupa keberadaban seorang Muslim diukur pada akhlak dan prinsipnya, bukan pada sejauh mana dia menyesuaikan diri dengan budaya barat.

“Maaflah, jika nak menyentuh tentang disiplin Muslim ini, tanyalah sepatah kawan-kawan yang duduk sekali dalam kerajaan tu dulu.

“Tanyalah dulu pemimpin Amanah ke, atau Umno. Atau boleh rujuk Mufti Wilayah. Kalau tanya dulu, saya yakin mereka akan beri gambaran yang betul.

“Tak tahulah kalau kawan-kawan dalam kerajaan tak kisah. Takkanlah begitu kot,” kata Fadhli.

Sebelum itu, Chang Khim menegaskan, CEO Petronas itu tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga perlu meminta maaf memandangkan beliau tidak minum arak.

“Tengku Taufik tidak perlu memohon maaf. Kita hidup dalam dunia pelbagai budaya. Acara yang disertai atau ditaja oleh Petronas itu adalah acara antarabangsa yang pesertanya terdiri daripada pelbagai kebudayaan.

“Semburan champagne” adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan dalam perlumbaan kereta antarabangsa yang telah lama menjadi tradisi sukan tersebut.

“Apa yang diharamkan oleh agama rasmi kita adalah mengambil minuman beralkohol oleh penganutnya. Oleh itu, selagi Tengku Taufiq tidak minum champagne dalam upacara “sembur champagne”, tidak ada apa-apa yang telah disalah lakukan oleh beliau,” catat bekas Exco Selangor itu di Facebooknya.

Menurut Chang Khim, jika kita terlalu sensitif sehingga tidak tahu batasnya, lebih baik kita tidak menyertai apa-apa aktiviti yang melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang kebudayaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat