KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP Datuk Teng Chang Khim berkata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz tidak perlu memohon maaf atas tindakannya sewaktu melakukan “semburan champagne” meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Chang Khim menegaskan, CEO Petronas itu tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga perlu meminta maaf memandangkan beliau tidak minum arak.
“Tengku Taufik tidak perlu memohon maaf. Kita hidup dalam dunia pelbagai budaya. Acara yang disertai atau ditaja oleh Petronas itu adalah acara antarabangsa yang pesertanya terdiri daripada pelbagai kebudayaan.
“Semburan champagne” adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan dalam perlumbaan kereta antarabangsa yang telah lama menjadi tradisi sukan tersebut.
“Apa yang diharamkan oleh agama rasmi kita adalah mengambil minuman beralkohol oleh penganutnya. Oleh itu, selagi Tengku Taufiq tidak minum champagne dalam upacara “sembur champagne”, tidak ada apa-apa yang telah disalah lakukan oleh beliau,” catat bekas Exco Selangor itu di Facebooknya.
Menurut Chang Khim, jika kita terlalu sensitif sehingga tidak tahu batasnya, lebih baik kita tidak menyertai apa-apa aktiviti yang melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang kebudayaan.
“Pegawai-pegawai kerajaan termasuk pegawai diplomat kita yang berkhidmat di Bangsa-bangsa Bersatu atau yang bertugas di dalam dan luar nagara, jangan lagi dibenarkan menyertai apa-apa majlis yang menghidangkan minuman beralkohol atas alasan kononnya mereka tidak menjaga sensitiviti agama rasmi kita.
“Adakah kita hendak merasa sensitif sehingga tahap itu? soalnya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas isu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi amaran tegas kepada Menteri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahawa sebarang acara atau majlis rasmi kerajaan tidak boleh dihidangkan minuman keras atau arak kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip atau dasar kerajaan.
Perdana Menteri berkata, penjelasan MOTAC bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau telah memberi amaran keras kepada Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing dan kementerian itu supaya kesilapan sama tidak berulang lagi.
Kata Chang Khim, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan ini diterima semua.
“Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan bahawa Malaysia adalah negara Islam di mana nilai-nilai Islam adalah tonggak kepada pentadbiran.
“Melaksanakan peraturan-peraturan yang hanya berdasarkan nilai-nilai Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Apa-apa peraturan sedemikian harus dibatalkan,” gesa beliau.



