Keluarga Malaysia – Air Dicencang Tidak Akan Putus

- Advertisement -

Prapelancaran kempen Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi menandakan bermulanya satu usaha mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran negara ini yang telah terjejas teruk akibat pandemik koronavirus 2019 (Covid-19).

Setiap Perdana Menteri akan menampilkan kempen tertentu sebagai sebahagian tanda arah kepimpinannya. Sama ada konsep Bangsa Malaysia (Tun Mahathir), 1Malaysia (Datuk Seri Mohd Najib Razak) mahu pun kini, Keluarga Malaysia, ia menumpukan kepada usaha menyatupadukan rakyat negara ini yang berbilang kaum, pelbagai budaya dan anutan agama.

Pemilihan Keluarga Malaysia agak berbeza dengan konsep kempen Bangsa Malaysia dan 1 Malaysia kerana kedua-duanya terlalu ambiguiti dan membawa pelbagai tafsiran sehingga dianggap menghakis beberapa perkara dalam kepentingan bumputera di negara ini.

Ketika konsep Bangsa Malaysia dan 1 Malaysia dilihat sebagai satu tafsiran bersifat meritokrasi, konsep Keluarga Malaysia bergantung kepada perkataan keluarga itu sendiri. Konsep keluarga dalam mana-mana budaya dan tamadun manusia pun akan berkait dengan kasih sayang, tolak ansur, pengorbanan, saling tolong-menolong antara satu sama lain. Walaupun ada tragedi-tragedi dalam kisah-kisah keluarga, namun secara umumnya keluarga saling menjaga antara satu sama lain.

Ada banyak peribahasa yang menunjukkan pendekatan keluarga secara psikologi dan sosiologi manusia akan sentiasa memberi pengakhiran yang positif.

Dalam budaya Inggeris peribahasa blood thicker than water telah wujud sejak zaman pertengahan (medieval). Pada zaman gasar dan kasar Inggeris pun ikatan kekeluargaan akan selalu lebih kuat daripada hubungan lain termasuk persahabatan atau cinta.

Dalam bahasa Melayu kita akan bertemu dengan beberapa peribahasa yang menunjukkan kepentingan dan positiviti istilah keluarga ini. Antaranya ialah ‘air yang dicencang, tiadakan putus’. Ini membawa maksud hubungan kekeluargaan tidak akan putus dengan kemunculan krisis sesama ahli keluarga.

Malahan peribahasa yang lebih ekstrem menggambarkan kepentingan ikatan kekeluargaan ialah peribahasa ‘Sebusuk-busuk daging dikincah, dimakan juga’. Peribahasa ini menggambarkan keadaan orang Melayu yang mudah memaafkan ahli keluarga yang membuat salah berbanding orang di luar pertalian darah.

Ada peribahasa Cina yang menggambarkan keeratan ikatan keluarga seperti dàng máfan láilín, jiārén huì gěiyú nǐ zhīchí yang bermaksud ‘ketika zaman sukar, keluarga anda akan membantu’

Ahli falsafah Cina, Confucius, meletak nilai yang tinggi kepada konsep kekeluargaan. Antara petikan popular, ‘The strength of a nation derives from the integrity of the home.

Dalam falsafahnya juga Confucius meletakkan nilai kekeluargaan antarar aturan penting masyarakat – “to put the world in order, we must first put the nation in order; to put the nation in order, we must first put the family in order; to put the family in order; we must first cultivate our personal life; we must first set our hearts right.

Saya memetik peribahasa dan falsafah beberapa tamadun ini kerana kedua-duanya wujud hasil pemerhatian ke atas perilaku manusia sejak ratusan dan ribuan tahun. Pemerhatian dan kewujudan peribahasa dan falsafah ini merupakan bukti nilai kekeluargaan adalah sesuatu yang telah utuh dan diuji oleh pelbagai zaman.

Justeru pemilihan konsep keluarga sebagai menifestasi pentadbiran Ismail Sabri menggambarkan beliau mengharapkan semua rakyat berganding bahu memulihkan negara ini – seperti mana kita sama-sama membantu ahli keluarga berasaskan pertalian darah dan keturunan.

Perdana Menteri menyatakan pendekatan Keluarga Malaysia ini harus bersifat inklusif merentasi fahaman politik, kaum dan agama. Ia harus mendakap erat prinsip kebersamaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara kekal terjamin.

“Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam setiap keluarga. Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.”

Perdana Menteri juga memberi gambaran Keluarga Malaysia ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat.

Kebimbangan sebahagian masyarakat Melayu bahawa konsep Keluarga Malaysia akan menghakis kedudukan bumiputera dan agama Islam juga tidak tepat. Seperti diumumkan kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan Rukun Negara yang antara lain menjamin Keluhuran Perlembagaan.

Sama ada kebetulan atau dirancang, penampilan konsep pada hari jumaat yang bersamaan dengan 1 Rabiul Awal 1443H, bulan kelahiran Muhammad s.a.w memberi isyarat signifikan bahawa kerajaan ini walaupun dipimpin oleh orang Islam akan menjaga hak dan kebajikan semua rakyat.

Jika dibaca catatan sejarah dunia, Muhammad adalah antara pemimpin dunia yang bersikap adil dan menjaga hak orang bukan Islam dalam pentadbirannya sama seperti hak orang Islam.

Walau apapun perbincangan dan analisa mengenai konsep Keluarga Malaysia, dalam pemikiran mudah Perdana Menteri ialah kita semua rakyat Malaysia harus menyayangi antara satu sama lain, dan saling bekerjasama bagi memulihkan negara ini yang telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Hanya keluarga besar ini mampu memulihkan negara. Ibarat sebatang lidi penyapu yang  akan mudah dipatahkan jika bersendirian, namun mampu membersishkan kawasan seluas mata memandang jika dikumpul menjadi seberkas penyapu.

Demikianlah kemampuan negara ini untuk kembali pulih bergantung kepada kita setiap ahli Keluarga Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat