Anak Azeez Rahim mohon doa, dakwa bapanya ditahan menjelang pertuduhan

KUALA LUMPUR – Anak kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Azman Azeez meluahkan kesedihan selepas mendakwa bapanya sekali lagi ditahan polis malam ini, sehari sebelum dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Azman yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, bapanya kini berada dalam tahanan di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan dibawa untuk permohonan reman esok.

Menurutnya, Abdul Azeez sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Esok, ayah saya sepatutnya melangkah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Namun malam ini, ayah saya sekali lagi berada dalam tahanan dan kali ini di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan direman bermula esok,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Azman berkata, esok juga sepatutnya menjadi hari bapanya bersama rakan-rakan seperjuangan pada Perhimpunan Agung UMNO, namun perkembangan terbaharu itu menyebabkan segala perancangan berubah.

Beliau mengakui sukar menerima keadaan yang sedang dilalui bapanya dan menulis kenyataan berkenaan bukan atas kapasiti sebagai Exco Pemuda UMNO atau ahli politik, sebaliknya sebagai seorang anak.

Menurut Azman, sepanjang mengenali bapanya, beliau melihat Abdul Azeez sebagai seorang yang kuat serta memilih untuk berdiam diri ketika dihina dan bersabar apabila berdepan pelbagai tuduhan.

“Sebagai anak, percayalah… melihat seorang ayah melalui saat seperti ini bukan sesuatu yang mudah.

“Ada rasa sedih. Ada rasa takut. Ada rasa kecewa. Dan ada malam-malam tertentu yang membuatkan kita hanya mampu termenung dan bertanya kepada Allah, ‘Kenapa beliau perlu melalui semua ini?’” katanya.

Bagaimanapun, Azman menegaskan beliau tidak mahu mendahului proses mahkamah atau menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak.

Katanya, apa yang diharapkan ialah segala proses undang-undang terhadap bapanya dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa prejudis.

“Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis. Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Azman turut meminta orang ramai mendoakan bapanya diberikan kekuatan dan ketenangan serta segala urusan yang dihadapinya dipermudahkan.

“Dan paling penting, doakan agar kebenaran akhirnya menemukan jalannya.

“Kerana di sebalik seorang yang dikenali ramai sebagai Azeez Rahim, beliau seorang insan yang kami sekeluarga panggil Ata.

“Dan malam ini, sebagai seorang anak, hati saya benar-benar berat dan sedih. Hasbunallah wanikmal wakil,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat