Festival AMFF 2026 bawakan foodies, gaya hidup sihat dan kebudayaan untuk tarikan pelancong ke Malaysia

Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali dengan acara yang lebih besar apabila makanan, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti bakal dihimpunkan dalam satu festival di Taman Tasik Titiwangsa.

Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, acara anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu akan berlangsung dari 11 hingga 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Jika sebelum ini AMFF lebih dikenali sebagai festival makanan, edisi kali ini cuba membawa sesuatu yang lebih luas dengan memberi ruang kepada pengunjung untuk menikmati makanan sambil menyertai pelbagai aktiviti berkaitan budaya, hiburan, kesihatan dan kecergasan.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, penganjuran selama enam hari itu turut memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk bertemu dengan lebih ramai pelanggan, selain menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurut beliau, kerjasama dengan beberapa rakan strategik seperti SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day turut menambah pilihan aktiviti yang boleh disertai pengunjung sepanjang festival berlangsung.

“Untuk tahun ini, kita bukan sekadar adakan warm-up ataupun fitness challenge. Kita akan adakan juga Zumba dan hip hop.

“Jadi kita galakkan orang ramai, selepas makan mereka boleh bersukan. Sudah isi kalori, kita buang balik kalori itu. Jadi kehidupan kita lebih seimbang,” katanya ketika ditemui pada sidang media AMFF 2026 X Festival Budaya Malaysia di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Selain makanan, antara acara yang bakal menjadi tumpuan ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas sempena Ambang Hari Malaysia.

Program itu akan menggabungkan muzik, seni dan budaya dalam satu persembahan, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September diteruskan dengan SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama pelbagai aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti.

Rayme berkata, pemilihan Taman Tasik Titiwangsa sebagai lokasi tahun ini juga dibuat berdasarkan suasananya yang lebih terbuka dan mudah dikunjungi orang ramai.

Katanya, kawasan itu sememangnya menjadi tempat masyarakat datang untuk beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga, justeru program yang disediakan turut disusun supaya sesuai untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.

“Kalau tahun lepas kita ada pelbagai program yang lebih kepada kesihatan dan podcast, tahun ini kita sesuaikan dengan lokasi.

“Kita berada di kawasan luar di Taman Tasik Titiwangsa dan tempat ini semua orang boleh datang. Jadi kita bawa juga makanan dan pelbagai tarikan untuk keluarga.

“Kalau ibu bapa datang, mereka boleh bawa anak-anak. Mereka boleh berjalan, makan dan pada masa sama sertai aktiviti yang kita sediakan,” katanya.

AMFF 2026 merupakan edisi kedua selepas penganjuran pertamanya pada 2025 di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil yang menarik lebih 10,000 pengunjung.

Edisi tahun lalu turut menyaksikan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi acara Fun Run dan podcast.

Bagi edisi kali ini, lebih 80 vendor daripada pelbagai bidang akan mengambil bahagian, menjadikan kawasan festival sebagai ruang untuk pengunjung melihat dan mendapatkan pelbagai produk tempatan.

Namun, satu perkara yang turut diberi perhatian penganjur ialah harga makanan yang ditawarkan kepada pengunjung.

Isu harga sering menjadi persoalan apabila festival makanan dianjurkan kerana ada pengunjung beranggapan harga makanan di acara sebegini lebih tinggi berbanding harga biasa.

Rayme berkata, pihaknya sudah berbincang dengan vendor yang mengambil bahagian supaya harga makanan yang dijual bersesuaian dengan kemampuan pengunjung.

“Sebagai penganjur, kita kena tengok keadaan ekonomi sekarang. Semua orang ada perbelanjaan masing-masing, jadi harga yang ditawarkan perlulah sesuai dengan keadaan semasa.

“Kita memang sudah bercakap dengan vendor mengenai harga makanan. Jangan terlalu mahal sebab kalau terlalu mahal, orang tidak beli.

“Kalau satu keluarga datang dengan lima orang anak, semua mahu makan. Jadi kita perlu fikirkan perkara itu dan kalau boleh ada pakej yang lebih sesuai untuk keluarga,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya memahami bahawa harga makanan di festival berbeza mengikut konsep dan jenis acara, namun AMFF cuba memastikan pengunjung masih mempunyai pilihan makanan yang tidak terlalu membebankan.

Rayme berkata, makanan yang ditampilkan dalam AMFF juga bukan semata-mata untuk tujuan jualan, tetapi menjadi sebahagian daripada cara untuk memperkenalkan makanan dan budaya Malaysia kepada orang ramai.

“Saya tidak nafikan ada acara food fiesta yang menawarkan makanan pada harga RM20 atau RM40. Tetapi ia bergantung kepada konsep dan apa yang ditawarkan.

“Untuk Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, kita cuba bawa makanan, seni dan budaya. Kita tahu rakyat Malaysia memang suka makanan, jadi makanan itu sendiri sudah menjadi satu tarikan.

“Pada masa sama, kita mahu orang ramai mengenali makanan dan budaya yang ada di negara kita,” katanya.

Selain vendor makanan, pihak penganjur turut menyediakan beberapa aktiviti lain untuk menarik pengunjung sepanjang festival berlangsung.

Rayme berkata, terdapat juga kejutan yang disediakan untuk pengunjung, termasuk jualan makanan pada harga serendah RM2, sebagai antara usaha menyediakan pilihan yang lebih murah kepada orang ramai.

Katanya, harga berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pendekatan festival untuk memastikan pengunjung daripada pelbagai latar belakang boleh menikmati makanan dan aktiviti yang disediakan.

Bagi Rayme, AMFF tidak mahu pengunjung datang hanya untuk membeli makanan dan kemudian pulang. Sebaliknya, mereka mahu orang ramai meluangkan masa lebih lama di lokasi dengan menyertai pelbagai aktiviti yang ada.

“Makanan, seni, muzik, kecergasan dan keluarga semuanya ada di sini. Jadi kita mahu orang datang dan luangkan masa, bukan datang semata-mata untuk beli makanan,” katanya.

Selepas berakhir di Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 akan diteruskan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 9 hingga 11 Oktober 2026 sempena Mysihat Expo 2026.

Acara di MAEPS itu akan membawa gabungan makanan, kesihatan, kecergasan, kesejahteraan, gaya hidup dan hiburan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Moonman Event bagi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) menerusi FRAGMANIA.

Penganjuran di MAEPS dijangka menghimpunkan kira-kira 600 vendor daripada bidang makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan dan kecergasan, hiburan serta komuniti.

Dengan penganjuran di dua lokasi berbeza tahun ini, AMFF 2026 dilihat semakin berkembang daripada sebuah festival makanan kepada acara yang menghimpunkan pelbagai perkara yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Makanan kekal menjadi tarikan utama, tetapi pengunjung turut boleh menikmati muzik, melihat persembahan seni dan budaya, menyertai aktiviti kecergasan serta meluangkan masa bersama keluarga.

Pada masa sama, kehadiran puluhan vendor memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memperkenalkan produk mereka secara terus kepada orang ramai.

Akhirnya, apa yang cuba dibawa AMFF 2026 cukup mudah. Masyarakat datang kerana makanan, tetapi mereka boleh pulang dengan pengalaman yang lebih banyak daripada mengenali budaya sendiri, menikmati hiburan, bersukan sehinggalah menghabiskan masa bersama keluarga dalam suasana sambutan Hari Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat