17 Peratus Peniaga Jual Minyak Masak Bawah Harga Maksimum – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga mematuhi penetapan harga maksimum minyak masak sawit dalam botol manakala 17 peratus daripada mereka menjual di bawah harga maksimum yang ditetapkan, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada golongan peniaga terbabit, beliau berkata tinjauan yang dilakukan di lebih 200 premis setakat tengah hari tadi mendapati minyak masak dijual pada harga yang ditetapkan pada hari pertama langkah itu dilaksanakan.

“Ini satu perkembangan memberangsangkan. Kita dapati harga minyak masak lima kilogram (kg) dijual serendah RM28.90 berbanding harga maksimum RM34.70 seperti ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata tinjauan juga mendapati minyak masak dalam botol 1kg dijual pada harga RM6.70 hingga RM7.70, 2kg dijual pada harga RM12.70 hingga RM14.70 manakala 3kg pula pada harga RM21.30 hingga RM21.70.

Minggu lepas, kerajaan menetapkan harga maksimum minyak masak dalam botol secara bulanan berdasarkan harga satu tan metrik minyak sawit mentah yang diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Annuar juga berkata kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘window pengaduan’ untuk memberi ruang kepada golongan miskin bandar yang terjejas akibat inflasi menyalurkan maklumat supaya tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

Beliau berkata sebagai permulaan, inisiatif itu akan mula dilaksana di Wilayah Persekutuan dan perincian lanjut mengenainya bakal diumum oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kelompok tersebut adalah kelompok yang paling terkesan susulan kenaikan kos sara hidup dan juga harga barang. Setelah berbincang pada mesyuarat yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, kita bersetuju untuk menjalankan satu latihan bermula dengan Wilayah Persekutuan.

“… (inisiatif ini bertujuan membantu) mereka yang layak terutama sekali golongan termiskin tetapi tidak menerima bantuan atas apa jua sebab, mereka boleh tampil untuk melaporkan diri atau ada pihak yang boleh melaporkan keberadaan mereka supaya tindakan susulan boleh dilakukan bagi mereka yang terbukti layak tetapi tercicir daripada sistem bantuan sedia ada,” katanya sambil menambah pelaksanaan inisiatif itu akan dipantau oleh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Annuar berkata inisiatif itu dilaksana susulan penemuan kajian berhubung impak inflasi terhadap keluarga miskin bandar khususnya di Kuala Lumpur yang mendapati ada keluarga dalam kalangan miskin tegar tercicir daripada menerima sebarang bentuk bantuan kerajaan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat