Polis Tumpaskan Sindiket Dadah Dianggotai Lima Sekeluarga

- Advertisement -

BUTTERWORTH – Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu melalui syarikat penghantaran yang dianggotai lima sekeluarga dan seorang wanita tumpas selepas mereka ditahan polis dalam empat serbuan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU) pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bermula pukul 2.30 petang sehingga 11.30 malam itu, polis merampas 14.1 kilogram dadah jenis syabu dan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM694,412.

Katanya, dalam serbuan pertama ketua sindiket dan kekasihnya yang masing-masing berusia 36 tahun dan 32 tahun ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas.

“Ekoran penahanan itu, polis menyerbu rumah keluarga dan menahan ibu, bapa, adik lelaki dan adik ipar ketua sindiket di Taman Bagan pukul 4.30 petang,” katanya dalam sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, dalam serbuan itu polis menemukan bungkusan syabu yang dipercayai akan dihantar ke luar negara manakala serbuan keempat dibuat di rumah sama yang membawa kepada penemuan syabu dan bungkusan serbuk MDMA.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menyembunyikan dadah jenis syabu dalam acuan simen. Hasil risikan turut mendapati aktiviti pengedaran dadah ini aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Selain itu, serbuk MDMA berperisa limau yang diedarkan untuk pasaran tempatan dipercayai dijual ke pusat-pusat hiburan dengan harga antara RM150 sehingga RM180 sepaket,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek adalah penganggur kecuali adik ketua sindiket yang menjalankan perniagaan kedai makan.

“Dalam operasi sama, polis merampas sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM718,912. Ujian saringan air kencing terhadap keenam-enam suspek negatif, namun tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman bermula 5 Ogos sehingga esok (9 Ogos) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat