Agong dukacita insiden menimpa Shinzo Abe

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran mengejut mengenai bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika sedang berucap di satu majlis di bandar Nara, barat Jepun hari ini.

Dalam kenyataan Istana Negara pada Jumaat, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada seluruh keluarga beliau, dan juga rakyat Jepun, dan harapan keluarga beliau sabar serta tabah menghadapi dugaan yang telah menimpa.

“Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Shinzo Abe berada dalam keadaan baik dan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Mengimbas kembali pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Shinzo Abe, Baginda telah berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara pada 11 Mac 2022 lalu.

Shinzo Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Pada pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada beliau sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan beliau, selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat