KWSP Catat Pendapatan Pelaburan Kasar RM19 Bilion Suku Pertama Tahun Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan suku pertama disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lalu.

KWSP juga yakin pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan tren positif dalam pasaran ekuiti. KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekuiti yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM3.92 bilion.

Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36 peratus diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

Bagi suku tahun pertama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutamanya oleh ekuiti luar negara. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat