KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP Selangor Ronnie Liu Tian Khiew mencadangkan penternak babi di negeri itu supaya memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.
“Penternak babi mungkin perlu mempertimbangkan cadangan yang saya kemukakan kepada mereka bulan lalu, iaitu untuk memfailkan semakan kehakiman mengenai perkara ini.
“Biar mahkamah yang memutuskan. Peguam kami percaya bahawa hak penternak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah, ia dinyatakan dengan sangat jelas dan lantang.
“Kami tidak mengharapkan sesiapa untuk menyatakan “ya” atau “tidak” kepada penternakan babi di negeri ini. Kita biarkan mahkamah menjadi hakim kita.
“Umum maklum…di Selangor, Sultan mempunyai kuasa Perlembagaan yang penting, namun titah Sultan secara amnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan.
“Di bawah sistem Raja Berperlembagaan Malaysia – Kerajaan Selangor menjalankan pentadbiran negeri melalui Menteri Besar dan Exco.
“Sultan bertindak mengikut Perlembagaan Negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Dalam kebanyakan perkara, Sultan bertindak atas nasihat kerajaan negeri. Terdapat beberapa bidang di mana Sultan mempunyai kuasa budi bicara, seperti pelantikan Menteri Besar; perkara berkaitan agama Islam di negeri tersebut; adat resam Melayu juga persetujuan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Ronnie dalam hantaran di Facebook beliau.
Walau bagaimanapun kata bekas Exco Selangor itu lagi, titah diraja sekalipun mesti mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang negeri dan keputusan mahkamah.
“Kerajaan Persekutuan boleh mengatasi perkara negeri jika undang-undang Persekutuan mempunyai ketuanan Perlembagaan, Parlimen mempunyai kuasa ke atas subjek tersebut atau mahkamah memutuskan bahawa titah tersebut tidak mengikut Perlembagaan.
“Bagi hal ehwal Islam di Selangor, Sultan adalah ketua agama Islam di negeri itu, maka kuasa baginda amat kuat di sana.
“Namun begitu, pentadbiran tetap dijalankan melalui undang-undang negeri dan institusi seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Prinsip Perlembagaan utama di Malaysia ialah Perlembagaan adalah tertinggi, bukannya mana-mana pemegang jawatan individu Ini telah diperkukuhkan selepas pindaan perlembagaan 1983 dan 1993 yang melibatkan Raja-raja Melayu dan Kerajaan Persekutuan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pindaan tersebut menjelaskan bahawa raja-raja adalah raja Berperlembagaan dan tertakluk kepada undang-undang dalam banyak bidang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ronnie mendakwa penternak babi di Selangor berada dalam keadaan keliru dan buntu susulan kenyataan “full stop” yang dikeluarkan pihak Istana.
“Mangsa iaitu para penternak babi kini keliru dan juga buntu. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Rakyat juga keliru,” dakwanya.
Selain itu, Ronnie mendakwa, situasi itu menjadi ujian sebenar terhadap keberanian dan kebijaksanaan pemimpin kerajaan DAP dan Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam serta Putrajaya.
Dakwanya, pemimpin DAP dan PH mengetahui kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang perlu diambil.
Beliau seterusnya mendakwa, para penternak babi masih berharap kerajaan yang mereka sokong selama ini tidak akan membelakangi mereka.
“Rakyat Selangor dan Malaysia sedang memerhati. Dunia juga sedang memerhati Selangor dan Malaysia,” dakwanya.
Dakwanya beliau lagi, keputusan akhir berhubung kontroversi itu boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada kerajaan PH, malah turut menjejaskan reputasi dan imej negara.



