KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) amat terkilan dan kesal melihat seolah-olah wujud desakan berterusan mereka yang memiliki kuasa untuk tetap membuka kandang babi walaupun pendirian Sultan Selangor telah dizahirkan dengan begitu jelas.
Ketua Penerangan PN Tan Sri Annuar Musa membangkitkan persoalan, kepentingan siapa yang sedang mereka utamakan?
“Sepatutnya, titah dan pendirian Sultan Selangor itulah yang perlu diberikan keutamaan dan penghormatan tertinggi oleh semua pihak.
“PN menegaskan sokongan penuh terhadap kedaulatan institusi istana serta menyeru seluruh rakyat dan pimpinan negara supaya sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam, orang Melayu serta menghormati setiap titah yang diperkenankan oleh Sultan Selangor dan institusi raja-raja Melayu.
“Institusi istana bukan sekadar simbol adat dan warisan, bahkan merupakan benteng penting dalam mempertahankan kestabilan, keharmonian dan kedaulatan negara. Daulat Tuanku,” tegas beliau.
Memperincikan hal itu, AJK Pas Pusat itu mengingatkan, indtitusi istana merupakan tunjang kedaulatan negara dan payung kepada keharmonian rakyat.
Justeru kata Annuar, setiap titah yang diperkenankan oleh Sultan Selangor wajib dijunjung, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat termasuk pimpinan kerajaan di semua peringkat.
“Dalam isu cadangan pembukaan ladang dan kandang babi di Selangor, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa Sultan Selangor telah bertitah supaya tiada sebarang pembukaan kandang babi baharu di mana-mana kawasan dalam negeri Selangor.
“Namun amat mendukacitakan apabila hasrat sebenar titah Tuanku ini yang juga disokong penuh oleh rakyat jelata, seolah-olah tidak difahami oleh pihak-pihak tertentu.
“Keadaan ini akhirnya menyebabkan Tuanku terpaksa mengeluarkan penegasan terakhir atau “full stop” bagi memperlihatkan pendirian baginda yang jelas dan tegas bahawa Selangor tidak memerlukan pembukaan kandang babi di mana-mana bahagian di dalam Negeri Selangor.
“Baginda Tuanku pastinya memahami realiti negeri Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, sensitiviti masyarakat yang pelbagai serta risiko pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Titah tersebut juga mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan baginda terhadap kepentingan rakyat negeri Selangor secara keseluruhan,” ujar Annuar.
Selain itu menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, pendekatan mendapatkan sumber protein daripada negeri atau negara lain juga memperlihatkan pertimbangan yang lebih selamat dan lestari demi menjaga kesihatan awam, kebersihan alam sekitar dan keharmonian sosial.



