KUALA LUMPUR -Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesakPerdana Menteri, Menteri Komunikasi termasuklah Adun DAP Seri Kembangan tampil memohon maaf kepada Sultan Selangor dan seluruh rakyat negeri Selangor secara terbuka atas kegagalan menghormati ketegasan titah Baginda dalam isu ladang ternakan babi.
Tegas Afnan, jika tidak ada permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam, Pemuda Pas tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan laporan polis di seluruh negara berkenaan penderhakaan terhadap institusi diraja.
“Pemuda Pas menggesa Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri, Menteri Komunikasi serta Adun Seri Kembangan daripada DAP supaya memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dan rakyat Selangor amnya di atas penderhakaan terhadap titah Tuanku Sultan Selangor mengenai isu penternakan babi di negeri tersebut.
“Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan titah Baginda sebelum ini bahawa tidak wajar lagi timbul sebarang perbincangan atau perbahasan berhubung cadangan pembinaan ladang ternakan babi di negeri Selangor.
“Namun amat mendukacitakan, apabila ketegasan titah Baginda itu seolah-olah tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Madani yang mentadbir Selangor mahupun Kerajaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Malah menurut Afnan, Pemuda Pas juga kesal dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi semalam yang menyatakan bahawa penternakan babi di Selangor dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Mengapa pula Kerajaan Madani dilihat begitu bersungguh-sungguh mempertahankan pembinaan ladang ternakan babi sedangkan isu pesawah di Kedah sekadar dipandang sepi?
“Lebih malang lagi, mengapa Kerajaan Madani seolah-olah sengaja menderhaka titah Baginda yang disampaikan dengan jelas, terang dan terbuka.
“Sepatutnya semua pihak akur dengan pendirian yang disampaikan Baginda, bukannya membuka semula perbincangan sehingga mengenepikan pandangan Baginda dalam isu ini,” ujar Afnan.



