DAPSY tak gentar ugutan lapor polis oleh Pemuda Pas jika tak minta maaf kepada Sultan, rakyat Selangor

KUALA LUMPUR – Susulan ancaman Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk membuat laporan polis di seluruh negara jika Kerajaan Perpaduan tidak memohon maaf berhubung isu ladang ternakan babi, Majlis Eksekutif Kebangsaan Sosialis Muda DAP (DAPSY) membidas sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

DAPSY dalam kenyataan balas pada Jumaat menegaskan, mereka tidak gentar dengan ugutan laporan polis oleh Pas bahkan sebaliknya menuntut Afnan untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan oportunistik beliau yang dianggap tidak tahu malu, bodoh, dan menghasut kebencian.

“Pas melaungkan slogan sebagai “parti untuk semua” telah muflis sepenuhnya dan demi meraih modal politik, mereka sanggup menjadikan masyarakat Cina di Malaysia sebagai mangsa pada bila-bila masa.

“DAPSY mengkritik bahawa Pas hanya “teringat” akan masyarakat Cina di Malaysia ketika Tahun Baru Cina atau pilihan raya sahaja. Hanya pada dua waktu inilah, Pas akan mengatur supaya Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang memakai baju merah, menunjukkan aksi makan Bak Kut Teh (daging lembu), tiba-tiba mengingati kewujudan sekutu mereka Dominic Lau, dan barulah ingat bahawa kaum Cina juga sebahagian daripada rakyat Malaysia.

“Sebaik sahaja Tahun Baru Cina berlalu, masyarakat Cina di mata Pas hanyalah beg pasir (punching bag), menjadi ‘punca rasuah negara’ seperti kata Hadi, menjadi penyembah ‘Buddha botol perut buncit’ yang diejek Sanusi, dianggap sebagai kewujudan yang tidak halal, serta golongan paria yang perlu memohon maaf kerana mempertahankan kebenaran atau berdepan laporan polis di seluruh negara.

“Kenyataan Afnan Hamimi sekarang adalah kemuncak kepada politik kebencian perkauman Pas,” dakwa DAPSY.

Bukan cuma itu, DAPSY mempersoalkan pendirian Pas dalam isu industri penternakan babi yang dianggap sangat oportunistik dan bercanggah.

“Sebelum Tahun Baru Cina tahun ini, Pesuruhjaya Pas Selangor Ab Halim Tamuri secara terbuka menyatakan tidak membantah industri penternakan babi asalkan ia dijalankan secara moden.

“Namun, kini Afnan Hamimi menuntut permohonan maaf daripada Kerajaan Perpaduan, yang jelas menunjukkan dwistandard dan cubaan mewujudkan suasana di mana bersuara pun dianggap satu kesalahan.

“DAPSY turut menyoal, jika tidak memohon maaf akan dilaporkan kepada polis, adakah beliau sudah menuntut Pesuruhjaya PAS Selangor sendiri untuk memohon maaf secara terbuka?

“Makna perbincangan demokratik adalah kita boleh tidak bersetuju, tetapi perlu membenarkan orang lain menyuarakan pandangan kerana setiap orang mempunyai pertimbangan berbeza.

“Sebagaimana Afnan Hamimi boleh melaungkan kenyataan tanpa berfikir panjang, janganlah bersikap dwistandard; jangan hanya membenarkan Pas Selangor bersetuju dengan penternakan babi, tetapi melarang Kerajaan Perpaduan memberikan pandangan,” katanya.

Dalam pada itu, DAPSY menegaskan bahawa sekuriti makanan adalah isu global yang penting, terutamanya dalam situasi antarabangsa yang tidak menentu dan kekerapan wabak ternakan.

“Mana-mana negara yang mempunyai industri penternakan, kerajaan tempatan pasti akan membincangkan keperluan pemodenan, penempatan, dan sara diri.

“Namun Pas lupa, walaupun mereka tidak makan, orang lain perlu makan. Mereka lupa bahawa justeru kerana penternakan babi tradisional mempunyai kontroversi, maka wujud keperluan untuk membincangkan jalan penyelesaian.

“Mereka lupa bahawa mana-mana kerajaan wajib membincangkan isu sekuriti makanan. Mereka tidak pernah mencadangkan sebarang penyelesaian jalan tengah kerana mereka tidak pernah mempedulikan kaum Cina, industri penternakan babi, atau bukan Islam.

“DAPSY menyatakan, daripada membantah festival muzik air, mengancam laporan polis dalam isu ladang babi, sehinggalah menggalakkan aktiviti mat motor, Pas telah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka akan membawa Malaysia ke arah masa depan yang berpecah-belah, penuh kebencian, dan mengabaikan pembangunan,” selar sayap muda DAP itu lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat