Larangan ternak babi bukan isu perkauman sempit seperti dimainkan DAP, tiada siapa didiskriminasi – Bersatu, Pas Selangor

KUALA LUMPUR – Bersatu dan Pas Selangor menegaskan bahawa isu penternakan babi bukanlah isu perkauman sempit seperti yang dimainkan oleh parti DAP.

Dalam kenyataan bersama Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri mengingatkan bahawa tiada agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina yang didiskriminasikan sekiranya aktiviti penternakan babi dinoktahkan di Negeri Selangor.

“Tidak ada mana-mana pihak yang menoktahkan bekalan daging babi untuk keperluan masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor.

“Maka, siapa yang meniup api perkauman dan agama yang sempit? Mengapa Menteri Besar gagal mengambil pendirian untuk menjamin keharmonian rakyat Selangor ?

“Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Komunikasi yang berdolak-dalik dan cuba memberi gambaran bahawa ladang penternakan babi boleh diteruskan di Negeri Selangor.

“Kritikan dan kecaman rakyat di media sosial yang tegas mempertahankan kewibawaan dan kebijaksanaan titah Tuanku Sultan telah menyebabkan semua laporan berhubung kenyataan tersebut diturunkan.

“Pihak Istana juga terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan bertarikh 7 Mei 2026 untuk menyampaikan penegasan titah Tuanku Sultan agar isu penternakan babi dihentikan sepenuhnya (Full Stop) demi memastikan keharmonian dan keamanan rakyat Negeri Selangor terus terpelihara,” tegas mereka.

Menurut Azmin dan Ab Halim, persoalannya, mengapa pihak istana terpaksa mengeluarkan kenyataan berulang-ulang kali?

“Jawapannya sudah ditegaskan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor iaitu Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah ‘kerajaan daun keladi’!

“Seluruh kepimpinan Bersatu dan Pas Negeri Selangor akan terus memelihara kewibawaan titah Sultan Selangor.

“Kami juga berikrar untuk sentiasa melindungi dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai teras Raja Berperlembagaan,” kata Adun Hulu Kelang dan Adun Paya Jaras itu lagi.

Menurut Azmin dan Ab Halim, penegasan titah Sultan yang sangat berhemah ini tidak seharusnya terus menjadi polemik sehingga ada campur tangan yang melarat ke peringkat Kerajaan Persekutuan memandangkan tuanku telah menzahirkan titah nasihat dan pandangan berpuluh kali termasuk tatkala Tuanku Sultan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor pada 20 April 2026 yang lalu.

“Pendirian Tuanku Sultan jelas dan sangat berhemah bersandarkan hujah pencemaran tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai serta menjejaskan kawasan tadahan air akibat aktiviti penternakan babi.

“Demi memelihara keharmonian rakyat Negeri Selangor yang rencam, Tuanku Sultan Selangor telah menzahirkan cadangan agar daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat