KKM perlu kerjasama semua pihak tangani pandemik Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Asas menangani pandemik bagi sesebuah negara adalah dengan memiliki pasukan saintis dan perubatan terbaik, demikian kata Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, biarpun negara mempunyai pasukan terbaik yang diperlukan, tanggungjawab menangani COVID-19 bukan hanya tugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami bermesyuarat setiap pagi jam 8, semua menteri dan kementerian terlibat. Ketua Pengarah Kesihatan akan mengetuai perbincangan yang sangat mendalam kerana pandemik tak boleh diuruskan oleh KKM sendirian.

“Perlu ada kerjasama penguatkuasaan polisi, sistem perumahan, sistem keselamatan sosial, yang semuanya berkaitan dengan pendidikan dan kehidupan.

“Jadi, ia memerlukan pendekatan yang berbeza, memerlukan pasukan yang berlainan untuk bekerjasama.

“Tetapi keperluan dalam menangani pandemik dengan berjaya adalah kepercayaan. Kalau ada sesuatu yang kita perlu tambah baik, ialah kepercayaan, di mana anda boleh beri bukti yang jelas setiap masa, komunikasi yang jelas dan anda beri ruang untuk dengar semua orang,” katanya ketika diwawancara dalam LINC Live Session: Leaders Speakeasy, pada Rabu.

Jemilah turut berkongsi peranannya sebagai penasihat kesihatan awam kepada perdana menteri.

Tidak seperti yang disangka ramai, tugas beliau bukan sekadar memberi arahan.

“Apa yang saya fokuskan ialah melakukan analisis mendalam tentang apa yang kita lihat sudah berlaku. Dalam kes COVID-19, ia seperti membuang ‘band aid’ daripada luka, kita nampak masalahnya.

“Kita ada sistem kesihatan yang sangat baik, lebih baik daripada kebanyakan negara tetapi di mana kita boleh perbaiki, apa lagi yang kita perlu buat dalam aspek akses perkhidmatan kesihatan?

“Apa yang perlu saya buat sekarang ialah bekerja dengan KKM dan pihak lain juga untuk beri laporan kepada perdana menteri, iaitu ini yang kita belajar dan apa yang perlu ditambah baik.

“Yang jelas adalah, KKM perlu kerjasama semua pihak,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Jemilah menegaskan kepentingan komunikasi berkesan terutama dalam aspek pemahaman prosedur operasi standard (SOP).

“Pertama sekali, kita menghadapi pandemik yang tidak pernah dihadapi sesiapa. Jadi, semua orang masih belajar, seperti memandu kereta dan menukar tayar, dalam masa yang sama.

“Kedua, pendapat peribadi saya, komunikasi adalah satu kemahiran. Jika anda tidak memilikinya, cari orang yang mampu melakukannya.

“Adakah kita boleh jadi lebih baik? Tentu sekali. Tetapi kena faham juga, kerana semua orang tertekan dan penat. Dan keadaan ini sudah berlarutan dalam tempoh yang lama,” ujarnya.

-Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat