Lembaga Disiplin BERSATU panggil Hamzah beri penjelasan, empat aduan disiplin disiasat

KUALA LUMPUR, — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin, difahamkan telah dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin parti berhubung beberapa aduan disiplin serius yang sedang disiasat.

Menurut sumber dalaman parti, Lembaga Disiplin BERSATU telah bersidang dan memutuskan supaya Hamzah hadir ke satu sesi pertemuan rasmi bagi menjelaskan dakwaan penglibatan beliau dalam beberapa isu yang dikatakan menjejaskan parti.

Sumber itu memaklumkan, antara aduan yang disiasat termasuk dakwaan penglibatan dalam perancangan mengganggu dan mensabotaj Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025, selain kegagalan mengawal tindakan beberapa pemimpin dan penyokong yang didakwa menyerang kepimpinan parti secara terbuka.

Beliau juga didakwa tidak mengambil langkah tegas menghalang beberapa sidang media dan kenyataan awam yang mencetuskan publisiti negatif terhadap parti serta mencemarkan imej Presiden BERSATU.

Selain itu, sumber sama menyatakan terdapat aduan berkaitan dakwaan pengumpulan Akuan Bersumpah (SD) dengan memanipulasi ketetapan mesyuarat dan retreat parti, termasuk usaha menggagalkan usul untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dan calon Perdana Menteri daripada parti itu.

Sumber dalaman tersebut turut memaklumkan bahawa kenyataan awam Hamzah di Dewan Rakyat pada akhir Januari lalu, yang didakwa menjejaskan imej Presiden dan parti, turut menjadi antara perkara yang disiasat.

Difahamkan, sesi pertemuan dengan Lembaga Disiplin itu dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat di ibu pejabat parti. Sekiranya pihak terlibat gagal memberikan kerjasama, Lembaga Disiplin mempunyai kuasa untuk membuat sebarang syor atau keputusan tanpa kehadiran responden.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hamzah Zainudin berhubung perkara berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat