KUALA LUMPUR — Ibu bapa masih dibenarkan membuka serta mengurus akaun media sosial bagi anak-anak berumur 16 tahun ke bawah, tertakluk kepada pemantauan rapi dan tanggungjawab penuh oleh pihak ibu bapa, susulan pelaksanaan peraturan had umur minimum penggunaan aplikasi dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan kanak-kanak tidak mengendalikan akaun digital secara bebas, sekali gus mengurangkan risiko pendedahan kepada ancaman keselamatan siber dan unsur tidak sihat.
Menurut beliau, terdapat ibu bapa yang secara sengaja membuka akaun media sosial anak-anak mereka bagi tujuan tertentu, termasuk penghasilan kandungan digital atau aktiviti sebagai pempengaruh.
“Dalam situasi sebegini, tanggungjawab sepenuhnya ke atas akaun tersebut terletak pada ibu bapa. Pengawasan mesti dilakukan secara konsisten dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kempen Internet Selamat sempena Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.
Fahmi menjelaskan, kerajaan mengambil pendekatan berasaskan undang-undang sedia ada serta selari dengan prinsip Perlembagaan, tanpa melaksanakan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Katanya, kesedaran terhadap keperluan mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di peringkat global, dengan beberapa negara telah melaksanakan langkah serupa.
“Negara seperti Australia telah menguatkuasakan sekatan terhadap penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sejak Disember lalu.
“Beberapa negara di Eropah serta Asia Tenggara, termasuk Indonesia, turut mengambil langkah seiring,” katanya.
Beliau menegaskan, kanak-kanak yang belum mencapai tahap kematangan emosi dan mental yang mencukupi lebih terdedah kepada eksploitasi, termasuk penyalahgunaan data peribadi serta imej oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, media sosial bukan satu-satunya ruang untuk perkembangan kanak-kanak dan remaja.
“Masih banyak aktiviti lain yang lebih bermanfaat dan sihat untuk perkembangan mereka. Kehidupan tidak seharusnya tertumpu sepenuhnya kepada media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan bahawa kawalan terhadap peranti digital dan akses Internet berada di bawah tanggungjawab ibu bapa, memandangkan pembelian peranti serta langganan Internet dibuat oleh golongan dewasa.
“Peranti tidak boleh dijadikan pengganti peranan ibu bapa. Kawalan perlu dilakukan, termasuk memasang tetapan keselamatan bagi mengelakkan anak-anak terlalu terdedah atau ketagih kepada aplikasi digital,” katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Keselamatan Internet wajar dijadikan peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak di alam siber, khususnya ketika teknologi digital dan kecerdasan buatan berkembang dengan pantas.



