Tindakan Lembaga Disiplin Bersatu Wajar Walau Agak Terlewat – Tun Faisal

KUALA LUMPUR,– Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail berpandangan bahawa tindakan Lembaga Disiplin parti memanggil beberapa pemimpin dan ahli yang didakwa melanggar perlembagaan serta disiplin parti merupakan satu langkah yang wajar dan berasas, meskipun isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama.

Menurut beliau, tindakan tersebut telah lama dinanti-nantikan oleh pemimpin serta ahli akar umbi BERSATU yang mahu prinsip Perlembagaan parti, Kod Etika dan keputusan kolektif dihormati serta dipatuhi.

Tun Faisal berkata, berdasarkan laporan media dan pendedahan terbuka oleh individu terlibat sendiri, panggilan Lembaga Disiplin itu adalah selari dengan peruntukan perlembagaan dan peraturan dalaman parti, khususnya apabila mengambil kira jenis, kekerapan serta corak perbuatan yang diadukan.

“Selain itu, jawatan serta tanggungjawab fidusiari yang dipegang oleh individu berkenaan, serta kesan sebenar dan berpotensi terhadap disiplin, perpaduan dan kewibawaan institusi parti juga perlu diberi pertimbangan serius,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataan dan tindakan pihak yang diadukan didakwa bercanggah dengan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU sebagai platform tertinggi parti, prinsip kepatuhan kepada keputusan parti di bawah Perlembagaan BERSATU, serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli, khususnya berkaitan disiplin kenyataan awam, kesetiaan kepada parti dan kewajipan memelihara nama baik institusi.

Antara peruntukan Perlembagaan BERSATU yang dirujuk termasuk Fasal 22.1(a) berkaitan kewajipan taat setia kepada parti dan kepimpinan, Fasal 22.1(b) mengenai pematuhan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan PAT, serta Fasal 22.1(f) yang mewajibkan ahli memelihara kepentingan dan imej parti.

Selain itu, beberapa peruntukan dalam Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli turut dirujuk, termasuk larangan tindakan yang boleh melemahkan kestabilan organisasi, penyalahgunaan kedudukan dan autoriti, serta kenyataan awam yang bercanggah dengan keputusan parti atau mencemar imej pimpinan.

Tun Faisal turut merujuk kepada laporan media yang menyebut beberapa pemimpin BERSATU Sabah dipanggil Lembaga Disiplin, termasuk dakwaan menyerang kepimpinan parti, mengkritik parti secara terbuka serta mengarahkan ahli mengingkari arahan parti.

Beliau menyatakan bahawa dalam konteks undang-undang disiplin parti, pengulangan perbuatan selepas wujudnya pengetahuan mengenai keputusan dan peraturan parti merupakan faktor pemberat yang sah kerana ia menunjukkan ketidakpatuhan berterusan serta kegagalan membetulkan tingkah laku.

“Dalam keadaan kedudukan Presiden parti telah diputuskan melalui pemilihan dan disahkan oleh dua Perhimpunan Agung Tahunan, sebarang kenyataan awam yang mempertikaikan perkara tersebut memberi implikasi serius terhadap disiplin dan kewibawaan institusi,” katanya.

Tun Faisal menegaskan bahawa semua perbuatan yang diadukan perlu dinilai secara kumulatif, termasuk kekerapan, tempoh, kedudukan serta pengaruh individu terlibat, dan kesannya terhadap autoriti keputusan PAT, nama baik BERSATU serta keyakinan rakyat terhadap parti dan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan tegas dan segera oleh Lembaga Disiplin amat dituntut oleh pemimpin dan ahli akar umbi bukan sahaja untuk menegakkan Perlembagaan dan Kod Etika parti, tetapi juga bagi melindungi institusi daripada kemudaratan berterusan serta memberi ruang kepada usaha membina semula nama baik parti yang didakwa telah terjejas akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat