Isu binaan haram rumah ibadat tidak boleh dilindungi sentimen 3R – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR — Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin menegaskan bahawa isu sebenar berkaitan polemik binaan haram rumah ibadat adalah kegagalan penguatkuasaan undang-undang serta ketiadaan konsistensi dalam pelaksanaannya, bukannya isu perkauman atau agama.

Menurut Hafiz, sentimen 3R — merujuk kepada isu kaum (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty) — sering digunakan untuk mengalih fokus daripada persoalan asas kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang lemah.

Beliau berkata, apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara pilih-pilih dan tidak konsisten, ia bukan sahaja menampakkan kelemahan sistem, malah mencetuskan persepsi bahawa undang-undang boleh dirunding dan disesuaikan mengikut sentimen tertentu.

Isu berkenaan, katanya, tidak wajar dilihat secara simplistik dengan melabelkannya sebagai isu 3R hanya kerana ia melibatkan pembinaan rumah ibadat, sebaliknya perlu dikembalikan kepada prinsip asas perundangan.

“Apa jua binaan di atas sesuatu tanah mesti mematuhi asas undang-undang dan kelulusan yang sah. Ini teras sebenar yang tidak boleh dialihkan,” katanya.

Hafiz turut menegaskan bahawa kes berulang yang melibatkan pembinaan kuil tidak menjadikan isu tersebut bersifat perkauman atau keagamaan, kerana prinsip undang-undang terpakai sama rata kepada semua pihak.

“Jika rumah ibadat lain sekalipun dibina secara haram, ia tetap salah. Undang-undang mesti ditegakkan secara adil dan konsisten, tanpa pengecualian,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa masalah sebenar tidak akan pernah selesai sekiranya setiap pelanggaran undang-undang ditutup dengan sentimen, sambil menegaskan pendekatan sedemikian bukan penyelesaian tetapi sekadar penangguhan.

Dalam masa sama, Hafiz mengingatkan supaya tidak mengalihkan fokus isu dengan menuding jari atau mengambil tindakan terhadap pihak yang membangkitkan kelemahan pengurusan dan penguatkuasaan.

“Jangan shift the goal-post. Jangan pula pihak yang menegur kegagalan pengurusan dan penguatkuasaan ditunding atau ditangkap. Jika itu pendekatannya, maka undang-undang dan institusi penguatkuasaan sendiri kelihatan lemah dan defensif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perhimpunan aman yang berlaku baru-baru ini wajar dinilai melalui lensa kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan hak asasi, bukannya emosi atau label sempit yang hanya mengaburkan isu sebenar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat