RFID, Evian, Genting Hong Kong ‘Bahan’ Kempen Hasut Bangsa Johor – Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat khususnya pengundi di Johor tentang gerak kerja fitnah ala PRU-14 sedang disebarkan menjelang pilihan raya negeri itu.

Kata Presiden UMNO itu, modus operandi yang sama menjadikan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.

“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.

“Berhati-hatilah. Gerak kerja fitnah ala PRU-14 sedang diulangi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung,” katanya.

Zahid yang juga Pengerusi BN itu juga menegaskan bahawa percayalah itu cuma mukadimah.

Ujar beliau, tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

Namun katanya, mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan.

“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan.

“Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa.

“Tidak mereka peduli kesan buruk politik fitnah dan adu domba terhadap rakyat dan negara demi memuaskan serakah dan kesumat.

“Mereka akan bergerak dengan “full throttle” untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN,” tegas Zahid.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, bagi mereka BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru mereka akan lakukan apa sahaja.

“By hook or by crook” tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU-14 mereka akan berusaha menamatkan kemaraan BN.

“Bagaimanapun muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat,” katanya.

Zahid menyeru, Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018.