KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perselisihan pandangan dan kritikan dalam parti merupakan sebahagian daripada realiti perjuangan politik.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memberi bayangan kemungkinan meletak jawatan, menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Rabu.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya sendiri pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno, ini lumrahnya iaitu ada idealisme yang berlainan.
“Namun jika berlaku perbezaan pandangan dan menerima komen, kita harus terima itu sebagai meraikan perbezaan pendapat atau Adab al-Ikhtilaf.
“Kalau selama ini kita kerap memberikan komen dan kritik orang, jadi apabila orang kritik kita pula, kita kena terima.
“Jangan pula labelkan orang itu tidak demokratik atau tidak menerima hakikat, tidak wajar ambil jalan singkat, ini perjuangan politik,” jelas Ahmad Zahid memetik Astro Awani pada Khamis.
Tambah Zahid, idealisme Pemuda Umno perlu terus diperjuangkan walaupun cadangan atau saranan tidak diterima sepenuhnya, memetik contoh karier politik beliau sendiri.
“Dalam politik ini, tidak semua orang bersetuju dengan kita. Tangani dan santuni ketidaksetujuan itu dengan penjelasan, bukan menerusi tindakan tidak sepatutnya.
“Saya cakap ini bukan sahaja kepada beliau (Akmal Saleh), saya merujuk secara umum kepada semua pemimpin sayap Pemuda dalam mana-mana parti politik yang mempunyai idealisme.
“Saya sendiri pernah terlanggar gunung, terpijak kulit pisang dan tersungkur, tetapi ia tidak menyebabkan saya terjatuh selama-lamanya, kita boleh bangun,” kata Zahid.
Ujarnya lagi, pengunduran Dr Akmal Saleh belum terlintas sama sekali dalam fikirannya, memberikan gambaran kepimpinan tinggi Umno masih mengharapkan peranan dan sumbangan berterusan ketua sayap Pemuda itu.
Sebelum ini, Zahid menegaskan enggan mengulangi kesilapan lalu sebagai reaksi kepada saranan Pemuda Umno untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional antara Umno dan Pas.
Katanya, perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.
Terdahulu, Akmal Saleh berpandangan Perikatan Nasional (PN) wajar dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula susulan kemelut politik di Perlis, ia bagi mengangkat agenda penyatuan Melayu serta Islam.



