Parti Bangsa Malaysia Umum Barisan Kepimpinan Baru

CYBERJAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengumumkan barisan kepimpinan parti bagi tempoh 3 tahun usai tamat Persidangan Agung Khas parti berkenaan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Sng Wei Shien diumumkan sebagai Presiden baru parti yang mendakwa mempunyai keahlian seramai 50 ribu orang itu.

Untuk makluman, pada Februari tahun lepas, Larry mengumumkan keluar dari PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas tetapi menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ADUN Taman Medan, Haniza Mohamad Talha pula dilantik sebagai Timbalan Presiden 1, manakala seorang lagi bekas wakil rakyat PKR yang juga Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dipilih sebagai Naib Presiden Kanan 1.

ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi pula dipilih sebagai Ketua Wanita PBM.

Bekas wakil rakyat DAP yang juga ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiang dilantik sebagai Bendahari Agung. Beliau sebelum ini mengumum menyertai Bersatu pada bulan Mac 2021.

Beliau turut disertai seorang lagi bekas wakil rakyat DAP iaitu ADUN Buntong, Sivasubramaniam yang dpilih sebagai Naib Presiden Kanan 2.

Secara keseluruhannya, barisan kepimpinan baru Parti Bangsa Malaysia melibatkan seramai 25 orang pemegang jawatan yang dipilih sementara 5 pemegang jawatan lain melibatkan jawatan Setiausaha Agung, Timbalannya, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan seorang ahli majlis Tertinggi secara lantikan pula dibuat oleh Presiden parti.

Jelas, barisan kepimpinan PBM benar-benar mencerminkan “bangsa Malaysia” itu sendiri apabila mereka yang dipilih merangkumi pimpinan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.