Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara mempamerkan siri ke-9 Hanya Satu ‘Single’ dengan karya ‘Kenyalang Circus’ oleh artis grafik dan tekstil muda Malaysia, Marcos Kueh bermula pada 1 Disember lalu sehingga 31 Mac depan.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan, ‘Kenyalang Circus’ mengetengahkan siri karya tekstil berwarna-warni dan fluorescent yang dihasilkan dengan mesin tenun industri.
“Kenyalang Circus membawa pengunjung melihat bagaimana artis, Marcos Kueh, bergelut dengan persoalan mengenai identitinya sebagai seorang Cina Malaysia dari Borneo yang tinggal dalam kalangan orang Eropah di Belanda.
“Seni tekstil ini diinspirasikan daripada imej-imej Malaysia dan Borneo yang digabungkan dengan imej-imej kasar iklan jalanan, logo jenama multinasional, dan benang fluorescent sebagai sindiran halus terhadap sebahagian masyarakat Barat dan Semenanjung Malaysia yang sering menyalah tafsir kepelbagaian budaya Borneo,” kata kenyataan itu.
“Kenyalang Circus menampilkan tujuh karya Marcos, iaitu Woven Poster #06: Money Minded, Woven Poster #07: Exotic Hospitality, Woven Poster #08: Primitive Performance, Woven Poster #9a: Homo Savagius Obedius, Woven Poster #9b: Homo Maiden Exotica, Woven Poster #10: Homo Servantis Erotis, dan Woven Billboard: Ibu Pertiwiku.
“Dalam karya seperti Woven Poster #06: Money Minded, Woven Poster #07: Exotic Hospitality, dan Woven Poster #08: Primitive Performance, Marcos mengetengahkan isu niat manusia di Borneo ketika mengenakan kostum tradisional dan bekerja dalam industri hospitaliti,”katanya.
“Marcos menunjukkan bagaimana ritual seperti penuaian yang dahulunya dilakukan untuk tujuan keagamaan, kini semakin berubah menjadi persembahan untuk memenuhi kehendak pelancong.
“Bagi karya Woven Poster #9a: Homo Savagius Obedius dan Woven Poster #9b: Homo Maiden Exotica, gambaran makhluk-makhluk yang mengenakan pakaian seragam yang melambangkan peranan mereka sebagai pekerja kilang dan pembersih untuk syarikat asing.
“Marcos menyampaikan mesej halus apabila masyarakat Borneo dilihat sebagai penduduk yang berasal dari ‘tanah eksotik’ yang unik dan luar biasa, perhatian lebih diberikan kepada keindahan luaran seperti budaya berwarna-warni dan tradisi mereka, ”katanya lagi.
“Hal ini menyebabkan isu-isu sosial yang dihadapi, seperti ketidaksamarataan dan kesan penjajahan, sering diabaikan atau dianggap kurang penting.
“Berdasarkan status sosioekonomi, ramai penduduk Asia Tenggara berhijrah ke negara maju untuk bekerja sambilan, mereka sering dilihat sebagai perosak yang menimbulkan masalah dan merampas pekerjaan.
“Namun, walaupun mereka dianggap sedemikian, setiap individu tetap mempunyai akar budaya dan berhak mendapat belas kasihan serta dilihat sebagai manusia yang mempunyai martabat dan nilai yang sama,”ujarnya.
“Koleksi karya terakhir beliau ialah Woven Billboard: Ibu Pertiwiku, yang dipamerkan seolah-olah sebuah air terjun.
“Karya ini mengambil inspirasi daripada kepercayaan suku Dayak, yang menceritakan bahawa nenek moyang mereka tinggal di syurga dan hanya turun ke dunia melalui air terjun.
“Nenek moyang ini dilihat sebagai pemerhati dari atas, memerhati kehidupan manusia yang penuh dengan urusan, kekacauan, dan kelucuan.
“Kenyalang Circus telah menjelajah ke pelbagai negara, dipamerkan dalam pelbagai versi dan susunan, dari Paris, Perancis hingga ke New York, Amerika Syarikat,”tambahnya.
“Kini, karya Marcos kembali ke tanah air dan dipamerkan di Balai Seni Negara, menyambut kemeriahan tahun baharu 2025 dengan penuh warna dan kegembiraan.
“Orang ramai dan peminat seni dijemput hadir untuk merasai pengalaman seni luar biasa tekstil menerusi pameran yang sedang berlangsung ini.
“Untuk maklumat lanjut, layari layari laman sesawang di www.artgallery.gov.my. serta ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara,”tambahnya lagi. SUARA.TV