PETALING JAYA — Tiga persatuan pelancongan utama negara hari ini melahirkan rasa kesal terhadap kontroversi berhubung penghidangan arak pada majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) yang diadakan pada 1 Oktober lalu.
Dalam kenyataan bersama, Malaysian Indian Travel & Tours Association (MITTA), Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) menjelaskan bahawa majlis itu tidak dianjur atau dibiayai oleh Tourism Malaysia mahupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebaliknya sepenuhnya diuruskan oleh pemain industri pelancongan swasta.
“MITTA, MICA dan M2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada majlis makan malam tersebut dan dengan ikhlas melahirkan kekesalan kami kepada kementerian dan Tourism Malaysia, khususnya kepada Menteri Datuk Seri Tiong King Sing,” kata kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan turut menegaskan bahawa GTM berjaya mencatat impak ekonomi melebihi RM420 juta, dengan penyertaan lebih 600 pembeli antarabangsa serta lebih 100 media asing, menjadikannya antara acara pelancongan terbesar pernah diadakan di Malaysia.
Menurut mereka, kenyataan bersama itu dikeluarkan bagi menangkis maklumat tidak tepat dan mengelirukan yang tersebar mengenai majlis berkenaan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menerusi satu video di Facebook pada Sabtu lalu mempersoalkan mengapa minuman beralkohol dihidangkan dalam acara kerajaan, yang menurutnya tidak selaras dengan norma budaya dan semangat perlembagaan.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan majlis tersebut dianjur kerajaan, sebaliknya menjelaskan ia acara sektor swasta bagi meraikan kejayaan penganjuran GTM — program pelancongan global pertama seumpamanya di Malaysia.
Tiong turut menjelaskan bahawa walaupun Tourism Malaysia pada peringkat awal terlibat dalam penganjuran, pihak industri kemudian mengambil alih sepenuhnya majlis makan malam tersebut selepas melihat potensi besar menjalin kerjasama perniagaan baharu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO akan membangkitkan isu penghidangan arak itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.



