Kapasiti Perkhidmatan Kesihatan Awam Diperkasa, RM36.1 Bilion Diperuntuk Kepada KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memantapkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam tahun depan dengan menjadikan Kementerian Kesihatan antara yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Bajet 2023 iaitu sebanyak RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 berkata sungguhpun negara dalam fasa peralihan ke endemik, COVID-19 masih bersama rakyat justeru dalam mengharungi kehidupan mendatang, usaha pemantapan perkhidmatan kesihatan akan dilakukan.

Beliau berkata menurut data Bank Dunia, jumlah perbelanjaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah setara dengan negara jiran yang lain iaitu sekitar empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sejumlah RM4.9 bilion disediakan bagi menampung perolehan seperti ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis iaitu meningkat 12 peratus berbanding 2022. Keutamaan tahun depan adalah untuk membaik pulih fasiliti termasuk klinik yang usang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan menyediakan RM420 juta untuk pembaikan hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang dengan keutamaan diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, beberapa projek pembinaan hospital, klinik dan fasiliti baharu akan dilaksanakan termasuk perolehan peralatan dengan kos hampir RM1.8 bilion melibatkan pembinaan Hospital Maran di Pahang dengan kos RM350 juta, bangunan blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka serta lima klinik kesihatan baharu seperti di Linggi (Negeri Sembilan), Penampang (Sabah) dan Sepupok (Sarawak),” katanya.

Menerusi bajet bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan memperoleh peralatan mobile CT Scan bagi meningkatkan perkhidmatan imbas tomografi berkomputer itu khususnya untuk manfaat pedalaman Sabah dan Sarawak.

Bagi menerajui agenda kesihatan mental pula, beliau menjelaskan kerajaan bercadang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan yang bertindak sebagai penggerak bersepadu antara semua pihak bagi kesejahteraan kesihatan mental rakyat di bawah payung MyMYNDA dengan peruntukan RM34 juta.

“Bagi menyokong Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan, skop pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak akan diperluas meliputi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian, terhad sehingga RM1,000 mulai tahun taksiran 2023.

“Selain itu, RM10 juta juga disediakan untuk perolehan 10 unit mesin cetak 3D (tiga dimensi) bagi penghasilan dentur yang dapat mengurangkan waktu lawatan pesakit ke klinik pergigian kerajaan daripada lima kali kepada hanya dua kali,” katanya.

Dalam menggalakkan rakyat menghentikan tabiat merokok, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut bercadang untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas produk Terapi Gantian Nikotin.

Menurutnya sebagai melengkapi langkah menjadikan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah sebagai pusat rujukan bagi penyakit jarang jumpa, kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan penyakit itu kepada RM25 juta bagi menampung kos rawatan penyakit berkenaan yang kian meningkat.

“Kerajaan juga pada Julai 2022 telah menubuhkan satu Akaun Amanah bagi Rawatan Penyakit Jarang Jumpa untuk membolehkan semua pihak menyalurkan sumbangan. Sukacita dimaklumkan, sumbangan kepada tabung ini akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar. Diharapkan banyak pihak tampil ke hadapan untuk menyumbang bagi meringankan beban kos pesakit,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan mempergiat agenda saringan rakyat melalui skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) dengan peruntukan RM80 juta termasuk untuk saringan penyakit kencing manis.

Katanya kerajaan juga akan menambah baik Program Saringan Kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan membuka program tersebut kepada 2.3 juta pekerja berdaftar di bawah Skim Keilatan Perkeso melalui peruntukan RM80 juta sebagai langkah awal mengesan dan mencegah penyakit kritikal seperti kanser dan sakit jantung.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata pelaksanaan MySalam akan diteruskan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan membukanya kepada syarikat insurans dan takaful untuk bersama-sama memastikan kesinambungan program berkenaan.

Menurutnya sejak 2019, MySalam telah meluluskan tuntutan berkaitan penyakit kritikal dan hospitaliti berjumlah RM734 juta kepada 1.5 juta individu B40, termasuk 500,000 individu yang menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan RM330 juta.

“Baucar Perlindungan Tenang yang telah memanfaat lebih tiga juta penerima BKM turut akan diteruskan melalui kaedah perkongsian kos dan diperluas kepada pembelian produk perlindungan bencana banjir untuk rumah kediaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru lebih banyak entiti menyumbang ke dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi memberi manfaat kepada negara terutama berikutan PETRONAS bercadang untuk menyumbangkan sebanyak RM2 bilion kepada agensi itu pada tahun depan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat