Penyatuan ummah bermakna berkongsi Malaysia tanpa perlu hilang identiti -Aliakbar Gulasan

KUALA LUMPUR – Bagi Sabah dan Sarawak, penyatuan bukan sekadar tentang politik. Ia tentang menghormati Borneo sebagai sebahagian penting daripada jiwa Malaysia.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) SabahDatuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, kita mahu Malaysia yang kuat bukan kerana semua rakyatnya sama, tetapi kerana rakyat yang berbeza mampu berdiri bersama. Kerana akhirnya, penyatuan ummah bukan tentang siapa yang paling besar haknya.

“Penyatuan ummah tidak bermaksud satu kaum menguasai kaum yang lain. Ia bermaksud tiada kaum yang merasa ditinggalkan dan disisihkan.

“Penyatuan ummah juga menolak sepenuhnya ekstremisme dalam apa jua bentuk dan atas nama apa sekalipun, kerana ekstremisme hanya akan merosakkan kepercayaan, memecahkan masyarakat dan akhirnya menggugat asas pembentukan Malaysia.

“Ia tentang bagaimana setiap insan dapat merasakan bahawa tanah air ini juga miliknya. Dari Sabah dan Sarawak, kita belajar satu perkara: Berbeza tidak semestinya berpisah. Bersatu tidak semestinya satu warna. Dan berkongsi Malaysia tidak bermakna kehilangan identiti.

“Itulah penyatuan ummah yang kita semua dambakan, bersatu tanpa menindas, berbeza tanpa bermusuh dan bersama membina Malaysia yang sejahtera.

“Akhirnya, penyatuan ummah bukan bererti kita mesti menjadi sama, tetapi memilih untuk berjalan bersama. Kita mungkin berbeza akar, bahasa dan budaya, namun berkongsi bumi dan masa depan yang sama. Berbeza pada identiti, bersatu pada hati. Berbeza warna, satu cita-cita. Itulah wajah Malaysia yang kita hasratkan bersama,” kata Pesuruhjaya Pas Sabah.

Aliakbar yang juga Adun Karambunai berkata, dari Borneo, kita belajar bahawa perbezaan bukan alasan untuk berpecah. Penyatuan ummah bukan sekadar pilihan dan citra siasah (politik), tetapi tuntutan agama dan amanah membina kehidupan bersama.

“Dalam konteks Malaysia, lebih-lebih lagi Sabah dan Sarawak, penyatuan ummah tidak boleh difahami hanya sebagai penyatuan orang Melayu. Ummah dalam kerangka kenegaraan ialah kebersamaan seluruh rakyat yang berkongsi tanah air, masa depan dan cita-cita.

“Di Borneo, kita hidup bersama dalam kepelbagaian yang begitu kaya; Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Iranun, Rungus, Bisaya, Brunei, Kedayan, Lundayeh, Bugis, Orang Sungai, Tidung, Tatana, Kimaragang, Lotud, Momogun dan pelbagai lagi suku yang mewarnai wajah negeri ini.

“Di Sarawak ada Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang, Penan, Bisaya, Kedayan dan pelbagai komuniti yang telah sekian lama menjadi denyut nadi Borneo.

“Maka, penyatuan ummah mestilah berdiri atas asas kesatuan dan kebersamaan tanpa ekstremisme. Kita tidak mahu sebuah penyatuan yang membina tembok di antara kaum, tetapi sebuah penyatuan yang membina jambatan di antara manusia,” katanya.

Menurut beliau lagi, penyatuan juga bererti menjaga kepentingan, maruah dan hak setiap kaum serta etnik, selaras dengan Perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.

“Jangan sampai kita terlalu ghairah mengangkat hak satu kelompok sehingga terlupa bahawa Malaysia ini adalah rumah yang dikongsi bersama.

“Di Sabah dan Sarawak, semangat ini lebih mudah difahami kerana masyarakat Borneo sejak sekian lama hidup dalam kepelbagaian. Kita mungkin berbeza bahasa, adat dan budaya, tetapi kita berkongsi bumi yang sama, mencari rezeki di tanah yang sama dan mengimpikan masa depan yang sama,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat