Azeez, Jamil Khir antara tiga dijangka didakwa berkaitan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dijangka didakwa di mahkamah minggu ini dan minggu hadapan susulan siasatan berkaitan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.

Seorang lagi yang dijangka berdepan pertuduhan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Resources Berhad, Datuk Azmi Ahmad.

Sumber memberitahu Suara.TV, perkembangan terbaharu itu menyusuli penelitian pihak pendakwaan terhadap beberapa kertas siasatan yang dikemukakan berhubung perkara-perkara yang disiasat susulan RCI berkenaan.

Difahamkan, pendakwaan terhadap individu terbabit akan dilakukan secara berperingkat, dengan sebahagiannya dijangka dibawa ke mahkamah minggu ini manakala selebihnya pada minggu hadapan.

Siasatan berkenaan dikatakan antara lain menyentuh beberapa urusan dan transaksi berbeza membabitkan pembelian sebuah kenderaan, urusan berkaitan pembelian sebuah hotel di Makkah serta transaksi melibatkan sebuah syarikat dalam sektor maritim.

Bagaimanapun, Suara.TV tidak mengaitkan mana-mana daripada tiga perkara tersebut dengan individu tertentu memandangkan butiran pertuduhan masih belum dikemukakan di mahkamah.

Setakat ini juga belum ada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa mengenai bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan atau tarikh sebenar individu terbabit akan dibawa ke mahkamah.

Perkembangan ini dipercayai merupakan sebahagian daripada tindakan susulan terhadap beberapa perkara berkaitan pengurusan, pelaburan dan transaksi TH yang menjadi perhatian RCI.

Suara.TV sedang mendapatkan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan tersebut.

Semua individu yang disebut dianggap tidak bersalah melainkan dan sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat