OPR tidak naik, kekal 3 peratus – BNM

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ia selepas MPC membuat keputusan luar jangkaan pada Mei dengan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, sebelum ia kekal pada mesyuarat berikutnya pada Julai.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Walau bagaimanapun, bank pusat berkata, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

“Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang.

“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat,” katanya.

BNM berkata, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

Pada suku kedua tahun 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terkesan akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini,” tambah BNM.

Bank pusat berkata, keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan.

“Faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang 2024. Meskipun prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.

“Namun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan E&E yang pulih dengan lebih teguh serta pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas,” katanya.

BNM menjelaskan, selaras dengan jangkaan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana, dengan trend menurun itu dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda.

“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan, serta inflasi teras yang berlarutan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat