PRU-15: Kerjasama dengan PN tidak menguntungkan PH- Penganalisis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pakatan Harapan (PH) kini bersiap sedia dengan pelbagai strategi untuk menang dan seterusnya dapat membentuk kerajaan semula.

Namun, timbul persoalan sama ada PH wajar bekerjasama dengan pihak lain seperti Pakatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan yang selesa sekiranya menang pada pilihan raya akan datang.

Perkara ini masih lagi menjadi teka-teki kerana sehingga hari ini tiada sebarang perbincangan rasmi antara dua gabungan tersebut. Penganalisis politik juga berbeza pandangan sama ada PH dan PN wajar bekerjasama atau sebaliknya.

Dalam kenyatan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini, beliau mendakwa PH telah mencapai titik noktah malah telah disepakati dalam kalangan parti gabungan tersebut bahawa tiada kerjasama atau rundingan bersama PN.

Bagi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kenyataan itu sekadar pandangan peribadi Rafizi. Bekas perdana menteri itu juga mendakwa, kenyataannya yang berkisar tentang gabungan PH-PN cuma membalas cadangan yang dilontar oleh beberapa pihak bagi mengelakkan perpecahan undi untuk menewaskan BN.

Di peringkat akar umbi parti-parti komponen PH, soal kerjasama bersama PN masih menjadi cakap-cakap dan perbincangan kerana mereka berpendapat beberapa strategi perlu disusun bagi memastikan kemenangan berpihak pada mereka.

Ini kerana, ada yang melihat sekiranya PH dan PN bergabung, ia dapat mengecilkan jurang terjadinya pertandingan tiga atau empat penjuru seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Bagi penganalisis politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, beliau berpendapat, PH perlu bergerak sendiri tanpa bergabung dengan PN bagi memastikan gabungan itu kekal dominan.

Malah, katanya, sekiranya kerjasama berlaku, ia tidak menguntungkan PH dan akan mengakibatkan penyokong di peringkat akar umbi kecewa dengan keputusan tersebut.

“Tindakan untuk bergabung dengan PN tidak menguntungkan PH malah akan mengakibatkan penyokong PH berasa kecewa kerana PN berperanan menumbangkan PH sebelum ini.

“PH juga tidak perlu berkongsi kerusi dengan PN yang boleh mengakibatkan PH hilang dominan,” kata Dr Awang kepada Suara.TV.

Selain itu, beliau menambah, dengan tidak bergabung dengan mana-mana pihak, PH juga dapat mengawal naratif mereka pada pilihan raya umum akan datang tanpa perlu memikirkan masalah lain sekiranya bekerjasama dengan PN.

“Apabila keadaan politik semasa dengan isu Najib di penjara, (Datin Seri) Rosmah (Mansor) dijatuhkan hukum, PH lebih mudah mengawal naratif politik mereka.

“Yang perlu PH gerakkan sekarang agar lengahkan sedikit PRU supaya gerakan Ayuh Malaysia mencapai sasaran dengan bergerak secara besar-besaran dan menembusi seluruh pelosok tanah air,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi penganalisis politik Dr Jeniri Amir pula, beliau berkata PH dan PN wajar berunding bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru berlaku.

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu, PH dan PN tiada pilihan lain kecuali menjalinkan kerjasama yang utuh jika ingin menumbangkan BN memandangkan ketika ini blok pembangkang terdiri daripada pelbagai gabungan dan parti.

Jelasnya lagi, pertembungan pelbagai penjuru antara blok pembangkang akan menyebabkan perpecahan undi dan keadaan itu, katanya, tidak memberi sebarang keuntungan buat PH.

“PH dan PN jika nak pastikan dapat tumbangkan BN, mereka tiada pilihan kecuali jalin kerjasama yang utuh. Selagi tidak menjalinkan kerjasama, selagi itu akan berlaku masalah untuk tumbangkan UMNO dan BN.

“Jadi implikasinya, akan berlaku pertembungan pelbagai penjuru, apa lagi blok pembangkang kini terdiri dari pelbagai parti termasuk yang terbaru GTA (Gerakan Tanah Air).

“Bila berlaku pertembungan pelbagai penjuru, secara langsung akan buat undi pecah. Bila undi pecah, macam di Johor dan Melaka, ia akan beri keuntungan dan kelebihan buat UMNO dan BN,” kata Dr Jeniri.

Meskipun mengharapkan wujudnya rundingan antara PH dan PN, Dr Jeniri berpendapat, kerjasama dua gabungan itu dilihat hampir mustahil berdasarkan beberapa peristiwa yang terjadi sebelum ini.

Malah, beliau juga berkata, walaupun iklim politik tertumpu pada isu-isu mahkamah melibatkan pemimpin UMNO, namun ia bukanlah bullet point yang boleh diguna PH untuk meraih undi.

Sebagai contoh, jelasnya, isu pemenjaraan bekas perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan turut memberi kelebihan buat UMNO sekiranya elemen simpati diterapkan pada pengundi Melayu.

“Saya sangsi sama ada PH atau PN mahu saling bekerjasama. Mana mungkin mereka (PH) terutamanya Datuk Seri Anwar (Ibrahim) mahu pisang berbuah dua kali seperti yang pernah berlaku ketika dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad).

“Isu Najib itu pula, boleh diguna oleh UMNO dan BN dengan meniup sentimen simpati terhadap tragedi yang menimpa Najib.

“Bila berlaku sentimen simpati ini, dalam kalangan pengundi khusus pengundi Melayu yang majoriti di Semenanjung, mungkin ia (isu Najib dipenjara) akan beri kelebihan pada BN. Tak semestinya kelebihan pada PH,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pemimpin parti PH dan PN mengetepikan ego masing-masing serta kembali ke meja perundingan jika benar-benar mahu memastikan kemenangan berpihak pada mereka.

“Untuk pastikan kerjasama berlaku, masing-masing perlu ketepi ego untuk kembali ke meja perundingan. Bersedia untuk berunding secara ikhlas, tolak ansur dan buat keputusan yang tepat dari segi agihan kerusi. Masing-masing tak boleh tamak.

“Semuanya harus bersandarkan pada fakta dan data. Perlu tolak ansur bagi mendapatkan persefahaman yang jitu untuk memastikan kesatuan dalam pembangkang,” ujarnya lagi.

PN disertai oleh Parti Gerakan (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Air (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

PH pula dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Ketika ini, PN berada di dalam blok kerajaan bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) membentuk kerajaan pusat dengan 115 buah kerusi- PN 50 buah kerusi, BN (44), GPS (18) dan PBM (3).

Selain PH yang mempunyai 90 buah kerusi, blok pembangkang lain yang ada ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) (4), MUDA (1), Parti Warisan Sabah (Warisan) (7), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (1).

Sementara itu, seramai empat ahli parlimen BEBAS iaitu Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Tambat @ Jugah Anak Muyang (Lubok Antu), Masir Anak Kujat (Sri Aman) dan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat