Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 Akan Dibangunkan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) akan dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata itu antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dipengerusikan beliau hari ini, yang turut dihadiri menteri-menteri serta ketua-ketua jabatan dan agensi terlibat.

“Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 akan melaporkan kemajuan kepada ahli majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata satu Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk menambahkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

Selain itu, mesyuarat mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara.

Ismail Sabri berkata industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

Perdana Menteri berkata program secara menyeluruh akan dilaksanakan kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.

Selain itu, mesyuarat bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menyelaras inisiatif serta program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional membabitkan sektor awam, swasta, komuniti dan akademik.

MED4IRN juga bersetuju melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act-Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Ismail Sabri berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasa melalui pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi iaitu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (ODR) akan diwujudkan bagi mengadili serta menyelesaikan tuntutan kecil selain meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

“Penubuhan pusat sehenti juga akan mempermudah akses program sokongan pendigitalan kepada para PKS.

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata liputan rangkaian 5G kini telah mencapai lebih 30 peratus di kawasan berpenduduk dan Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian 40 peratus menjelang akhir tahun ini serta sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

“Kerajaan berharap program pendigitalan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkat dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat