Individu tak berdokumen juga divaksin – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu semua penduduk Malaysia termasuk individu tidak berdokumen juga menerima vaksin tanpa pengecualian.

Beliau menegaskan bahawa tidak ada yang selamat sehingga semuanya selamat.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa program vaksinasi ini diberikan oleh kerajaan untuk semua penduduk di Malaysia dan kita tidak menolak sesiapa pun.

“Tidak kiralah individu tersebut mempunyai dokumen ataupun tidak,” katanya ketika lawatan kerja ke Sabah.

Khairy memberitahu, hari ini adalah hari kedua lawatan kerja beliau di Sabah dan pagi tadi telah ke Pulau Larapan, Semporna, bagi melihat aktiviti jangkau luar pemberian vaksin CanSino (vaksin 1 dos) kepada penduduk di pulau tersebut dan pulau-pulau di sekitarnya.

“Bersama-sama saya di Pulau Larapan adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga EXCO Kesihatan negeri, Ir Shahelmey Yahya, serta pengurusan tertinggi KKM.

“Aktiviti vaksinasi di Pulau Larapan ini adalah antara contoh program vaksinasi jangkau luar yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk kita mencapai sasaran 60 peratus populasi dewasa di Sabah mendapat vaksinasi lengkap pada hujung September ini dan 80 peratus pada penghujung Oktober 2021,” katanya.

Menteri Kesihatan itu berkata, KKM telah merancang lebih 130 program vaksinasi jangkau luar ini yang melibatkan kerjasama JKN Sabah, Kerajaan Negeri serta NGO dengan menggunakan pejabat-pejabat kesihatan daerah sebagai PPV sementara.

“Hari ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan yang menawarkan dewan terbuka mereka untuk kita jalankan aktiviti vaksinasi.

“Kita mensasarkan 1,000 dos untuk diberikan pada program vaksinasi jangkau luar di Pulau Larapan ini. Keseluruhannya, 16,000 dos vaksin CanSino akan dihantar ke Daerah Semporna dan sehingga hari ini, sebanyak 3,000 dos telah pun diterima.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa program vaksinasi ini diberikan oleh Kerajaan untuk semua penduduk di Malaysia dan kita tidak menolak sesiapa pun. Tidak kiralah individu tersebut mempunyai dokumen ataupun tidak,” jelas beliau.

Menurut Khairy lagi di Pulau Larapan ini dan juga di aktiviti vaksinasi jangkau luar lain yang dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang hadir tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan hanya membawa bersama mereka surat dari Kerajaan Negeri ataupun ketua kampung yang mengesahkan identiti mereka. Kita terima.

“Saya telah bincangkan perkara ini di peringkat KKM dan juga bersama Jemaah Menteri bahawa apa yang lebih utama adalah soal kesihatan awam.

“Kalau mereka adalah penduduk di Malaysia, saya harap mereka akan hadir di mana-mana PPV atau program jangkau luar seperti ini untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Saya ingin tegaskan juga bahawa tidak ada yang selamat sehingga semuanya selamat,” ujar Khairy.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat