Mempertahankan Kedaulatan Raja Berperlembagaan – Peguam

- Advertisement -

OLEH: Dato Hasnal Rezua Merican

Paksi Negara ini terbahagi dua; Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Perlembagaan Persekutuan yang mula berkuatkuasa pada tahun 1957 dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya secara dinamik sehingga kini telah mewujudkan satu keseimbangan yang jelas tentang kuasa eksekutif Raja Berperlembagaan dan kuasa eksekutif yang dilaksanakan melalui Perdana Menteri dan Kerajaannya secara Demokrasi Berparlimen.

Dalam keseimbangan yang diwujudkan ini, Fasal 40(2) Perlembagaan Persekutuan kekal utuh sebagai kuasa Raja Berperlembagaan atau Yang di-Pertuan Agong (‘YDPA’) yang dilaksanakan Baginda di atas budi bicara Baginda sendiri tanpa tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri ataupun Eksekutif.

Fasal 40(2)(a) memperuntukkan:

“YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

melantik seorang Perdana Menteri”

Perlembagaan Persekutuan sememangnya tidak pernah menghasratkan urusan pelantikan Perdana Menteri ini berpindah daripada tangan Baginda kepada domain badan legislatif atau Parlimen. Dalam erti kata lain, urusan ini urusan Raja Berperlembagaan dan bukannya urusan Demokrasi Berparlimen.

Banyak pandangan telah pun disuarakan oleh pakar-pakar akademik dan keperlembagaan termasuk oleh Yang Berhormat Peguam Negara tentang tidak perlunya satu proses penentuan keabsahan pelantikan Perdana Menteri dibuat di Dewan Rakyat setelah urusan pelantikan beliau disempurnakan di hadapan singgahsana Istana.

Fasal 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

“Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

YDPA hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;

Pada menjalankan urusan ini, YDPA bertindak berdasarkan penilaian peribadi Baginda menurut asas ‘kemungkinan’. Kemungkinan bahawa calon yang dipilih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kemungkinan ini, menurut aplikasi lampau, diasaskan kepada faktor bahawa calon yang diketengahkan sebagai Perdana Menteri adalah ketua parti yang memenangi majoriti kerusi pilihan raya Dewan Rakyat.

Pasca pilihan raya umum ke-14, tidak ada satu parti politik berdaftar pun yang berjaya memperoleh kerusi Dewan Rakyat melebihi paras majoriti. Ketua-ketua parti yang bersetuju bergabung di atas nama Pakatan Harapan telah mengketengahkan nama Tun Dr. Mahathir sebagai calon tunggal Perdana Menteri untuk penilaian YDPA. Memandangkan gabungan ini memegang majoriti kerusi Dewan Rakyat dan tidak ada calon lain dikemukakan, maka YDPA telah bertindak di atas penilaian bahawa kemungkinan Tun Dr. Mahathir mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, pelantikan Perdana Menteri ke-8 dan Perdana Menteri ke-9 adalah pengalaman unik yang membentuk preseden tersendiri. YDPA serta Majlis Raja-Raja telah terpaksa berperanan pada tahap yang melangkaui kebiasaan.

Proses yang dilaksanakan oleh YDPA dalam melantik Perdana Menteri ke-8 adalah dengan meminta ketua-ketua parti menyatakan jumlah sokongan ahli parlimen parti masing-masing yang menyokong calon-calon Perdana Menteri. Sokongan ini diterjemahkan dalam bentuk akuan berkanun yang diberikan melalui ketua-ketua parti.

Sementara itu, proses yang dilaksanakan oleh YDPA dalam melantik Perdana Menteri ke-9 adalah lebih langsung dan telus berbanding proses pemilihan Perdana Menteri ke-8. Bertindak menurut pengalaman dan kebijaksanaan Baginda, pengaruh serta kawalan ketua-ketua parti politik telah disetarakan dan kuasa mengundi ahli-ahli parlimen disamaratakan di atas prinsip “satu ahli parlimen satu undi”. Setiap seorang ahli parlimen mengundi secara terus kepada YDPA.

Melalui kedua-dua proses ini, YDPA telah berperanan melangkaui tahap penilaian calon yang ‘kemungkinan akan’ mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. YDPA telah memilih calon Perdana Menteri yang pada hemat Baginda sememangnya ‘diketahui telah’ mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pelantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin tidak perlu dan tidak pernah diabsahkan di dalam Dewan Rakyat sejurus selepas pelantikan dibuat. Maka, sewajarnya pelantikan Datuk Sri Ismail Sabri harus bersifat tuntas dan muktamad. Sidang mengabsahkan adalah lewah dan tidak perlu.

Di atas semangat menjunjung institusi Raja Berperlembagaan, adalah amat wajar bahawa kuasa mutlak Baginda di sisi Perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri, tidak dikompromi, dinyah nilai atau dikesampingkan dengan menjadikan keputusan tersebut tidak tuntas dan muktamad serta tertakluk kepada satu proses keabsahan.

Rakyat yang menjunjung prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Keluhuran Perlembagaan pastinya bersetuju bahawa kuasa yang diperuntukkan secara eksklusif kepada Raja Berperlembagaan tidak harus berpindah ke gelanggang Demokrasi Berparlimen.

Kita tidak perlu mewujudkan sebarang konvensyen parlimen yang secara efektifnya bersifat membelakangi suratan atau semangat Perlembagaan Persekutuan.

Kita semestinya tidak perlu mewujudkan satu lagi ruang untuk Ahli-ahli Parlimen dan politikus elit memperdagangkan kuasa dan kerusi.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat