PM tak boleh sesuka hati guna agensi kerajaan untuk diamkan musuh politiknya – Fadhli

KUALA LUMPUR -Tindakan Pejabat Perdana Menteri yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat penafian oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing untuk menerima subsidi minyak didakwa sebagai satu penyalahgunaan kuasa eksekutif yang serius, melibatkan campur tangan politik ke atas badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak bebas dan profesional.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menyeru MCMC untuk memelihara kebebasan institusi dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyarankan supaya SPRM juga sewajarnya patut membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau PAC juga dicadangkan memanggil pihak MCMC dan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan tentang asas dan justifikasi arahan ini.

“Hakikatnya, jika ini bukan satu salah guna kuasa, apakah lagi nama yang sesuai? Malaysia adalah negara hukum.

“Tiada siapa, hatta Perdana Menteri sekali pun, boleh bertindak sesuka hati menggunakan agensi kerajaan untuk mendiamkan musuh politiknya. Tindakan ini mesti dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan,” tegas Fadhli.

Menurut beliau, isu yang bersifat peribadi dan politik, bukan pelanggaran undang-undang komunikasi- penafian oleh Muhyiddin tidak membawa sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Katanya, seksyen ini hanya terpakai ke atas penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Fadhli mengingatkan MCMC bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya.

“Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), MCMC hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang. Maka, arahan lisan atau terbuka oleh Perdana Menteri terhadap MCMC berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi.

“Kemungkinan pelanggaran Seksyen 23 Akta SPRM: Salah guna jawatan – arahan kepada MCMC untuk menyiasat kenyataan penafian yang bersifat politik boleh ditafsirkan sebagai suatu penggunaan jawatan bagi memperoleh manfaat politik dan menekan lawan.

“Ini berpotensi jatuh di bawah skop Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan awam bagi mendapatkan suapan atau manfaat,” katanya.

Tambah Fadhli lagi, tindakan Perdana Menteri juga boleh dilihat sebagai mencabuli hak Muhyiddinsebagai warganegara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan bersuara. Malah, Perkara 8(1) menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang adil.

“Apabila agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat individu atas kenyataan politik yang tidak melanggar undang-undang, maka asas keadilan dan kesaksamaan ini telah dinodai.

“Sehubungan itu, MCMC diseru untuk memelihara kebebasan institusi dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik. SPRM juga sewajarnya patut membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694,” katanya.

Terdahulu, MCMC akan menyiasat kebenaran maklumat perbalahan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan MCMC menyatakan pihaknya mengambil maklum kenyataan media PMO agar siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Ahli Parlimen Pagoh.

Sehubungan itu, MCMC akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam kenyataan tersebut juga MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih.

Kelmarin, ketika berucap di Dewan Rakyat, Anwar mendakwa Muhyiddin Yassin menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.

“Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai hentam kromo sahaja.

“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada pagi Selasa.

Bagaimanapun pada sebelah petang Muhyiddin tampil menafikan dakwaan Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun tersebut mengemukakan bukti.

“Saya sebenarnya tidak pernah cakap begitu. Saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu sebagai satu kenyataan berfitnah atau pembohongan.

“Apatah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di dalam Parlimen,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial pada Selasa petang.

“Muhyiddin mempersoalkan sumber yang dirujuk Anwar ketika membuat kenyataan tersebut di Dewan Rakyat.

“Apabila ada kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan dia kata dia baca, saya nak tahu dia baca di mana? Buku apa? Video apa? Atau sidang media mana yang saya telah buat? Yang pastinya tidak ada,” cabar Muhyiddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat