KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di pejabatnya semalam.
Menurut Anwar, perbincangan mereka berdua menyentuh kepentingan memperkukuh institusi kehakiman yang bebas, berintegriti dan diyakini rakyat sebagai tiang seri kepada negara hukum yang adil dan saksama.
“Menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di pejabat saya.
“Perbincangan kami menyentuh kepentingan memperkukuh institusi kehakiman yang bebas, berintegriti dan diyakini rakyat sebagai tiang seri kepada negara hukum yang adil dan saksama.
“Tahniah di atas pelantikan, moga amanah besar ini digalas dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan demi Malaysia yang lebih adil dan maju,” ujar Perdana Menteri.
Sebelum itu, Ketua Hakim Negara yang baharu dilantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar untuk melindungi dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Menerusi ucapan pertama sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia ke-17, Wan Ahmad Farid turut menyentuh mengenai perjalanan kerjayanya yang panjang serta pelbagai dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak mungkin beliau lupakan.
“Saya pernah berkhidmat dalam ketiga-tiga cabang kerajaan. Saya tidak boleh memadam sejarah saya sama ada yang bersifat politik atau sebaliknya. Dan saya juga tidak berhasrat untuk berbuat demikian. Itulah diri saya.
“Namun, apabila saya memikul amanah yang berat ini, dan selagi saya menduduki kerusi ini, saya dengan ini memberikan ikrar tanpa syarat, atas nama Tuhan saya, Bismillahhirahmanirrahim, bahawa saya akan melindungi dan mempertahankan kebebasan cabang kerajaan ini dengan sepenuh jiwa dan raga saya,” katanya.



