KOTA KINABALU, – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyelar kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Arthur Sen, yang didakwa cuba memperlekeh kedudukan autonomi UMNO Sabah dalam kerjasama pilihan raya akan datang.
Dalam kenyataan pedas yang dimuat naik di media sosial, Bung Moktar menyifatkan kenyataan Arthur sebagai “kelakar” dan “tidak memberi sebarang nilai tambah” kepada proses politik matang yang sedang diusahakan oleh UMNO-BN Sabah.
“UMNO-BN Sabah berautonomi, ya, tetapi kita juga matang. Kita faham makna perpaduan… Kita tidak gelojoh mengumumkan sesuatu tanpa strategi,” tegas Bung.
Beliau menempelak Arthur yang disifatkan sebagai “pemimpin kurang dikenali” namun cuba bertindak seperti “pensyarah strategi” kepada UMNO. Bung menuduh PBS sebagai parti kecil yang “menumpang tetapi mahu mengarah”, merujuk kedudukan parti itu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut Bung, UMNO Sabah tidak memerlukan nasihat tidak diminta daripada mana-mana parti, termasuk PBS yang disifatkan sebagai “penyewa ruang” dalam gabungan GRS.
“Kami tahu bila untuk bertindak, dengan siapa perlu bekerjasama, dan bila masanya untuk berdiri sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar menegaskan UMNO Sabah konsisten dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan parti yang “tidak bermaruah, tidak ikhlas dan punya sejarah mengkhianati rakan seperjuangan.”
“UMNO Sabah sudah cukup pengalaman ditikam dari belakang. Dan kali ini, kami tidak akan berpaling lagi,” tegas beliau.
Bung turut mengkritik pentadbiran GRS yang menurutnya gagal menyelesaikan isu-isu asas rakyat Sabah seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya serta kelembapan pelaburan dan penghijrahan anak muda keluar negeri.
“GRS bukan kerajaan perpaduan, mereka kerajaan panik. Mereka tahu gelombang rakyat sedang menuju,” katanya.
Sebagai penutup, Bung memberi amaran kepada Arthur Sen agar menilai kekuatan kerusinya sendiri sebelum cuba menilai kekuatan UMNO Sabah.
“Jangan sampai suara paling kecil dalam gabungan jadi paling lantang, walhal paling lemah bila undi rakyat tiba,” katanya lagi.
Kenyataan ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa UMNO Sabah bersedia untuk bergerak secara solo jika perlu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sambil menegaskan keyakinan mereka terhadap sokongan rakyat.



