Muhyiddin terima kalau Anwar mohon maaf sekarang

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat sedikit heboh ketika Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf atas kenyataan dibuat Ahli Parlimen Tambun terhadapnya yang didakwa sebagai fitnah.

Muhyiddin juga mendesak Anwar menarik balik kenyataan yang mendakwa dirinya menyokong pemberian subsidi RON95 kepada warga asing kerana ia tidak benar sama sekali.

Menurutnya, sekiranya tiada permohonan maaf dibuat, beliau akan membawa perkara tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya telah tegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali.

“Carilah di mana-mana dunia siber tak akan ada kenyataan saya buat seperti itu bermakna apa yang dibuatkan oleh Yang Berhormat Tambun nyata satu fitnah.

“Kalau di dewan ni dia ada imuniti Tan Sri yang dipertua, ALLAH SWT takda beri imuniti. Fitnah hukumnya haram. Dalam dewan haram, di luar juga hukumnya haram.

“Saya nak nyatakan, sebagai sahabat, mungkin dia juga manusia biasa cuma jawatan dia tinggi. Saya juga pernah ada di situ. Jadi mungkin dah berlaku kesilapan, jadi agak susah bagi perdana menteri nak kata ‘Muhyidin, aku sorrylah salah’ dia boleh cakap begitu saja, (saya) okey.

“Jadi saya nak minta satu perkara daripada YB Tambun, dengan izin speaker, mohon maaf ya. Tarik baliklah kenyataan itu. Saya ni rela, saya akan terima permohonan maaf tu sekarang juga,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sebelum itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencelah dengan bertanya sama ada Muhyiddin setuju dengan kenyataan beliau bahawa Anwar tidak membuat ulang kaji untuk datang ke Parlimen.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) turut mencelah dengan mencadangkan supaya Muhyiddin membawa usul usulkan supaya Tambun digantung Dewan Rakyat selama 6 bulan.

Muhyiddin menyatakan persetujuan terhadap kedua-dua kenyataan dan cadangan yang dinyatakan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tersebut.

“Memang tak buat homework. Saya tahu mana dia dapat sumber maklumat tu…sumber fake dan palsu. Perdana menteri ambil sumber fake dan palsu bercakap dalam parlimen. Amat memalukan…kenyataan yang tak betul mesti dibetulkan,” katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau menerima surat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pagi tadi untuk hadir memberi keterangan.

“MCMC kata nak ambil keterangan saya sebagai saksi. Saya nak tanya, SKMM dah siasat perdana menteri? Saya rasa ini satu penyalahgunaan kuasa, pasal isu ini isu peribadi yang dibangkit oleh perdana menteri terhadap saya.

“Tapi dia arahkan MCMC untuk siasat. Saya rasa itu tak berapa kena. Lepas itu siasat saya dulu. Kan saya dah keluarkan kenyataan. Kalau SKMM jumpa saya pun saya akan beritahu apa yang saya kata dalam kenyataan saya sebelum ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan dia telah menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengesahkan MCMC telah diarahkan untuk memulakan siasatan.

“Saya terima surat yang telah pun mengarahkan SKMM menyiasat lebih lanjut tindakan, dari mana maklumat ini datang.

“Sebab itu, insya-ALLAH kita tunggu. MCMC akan siasat dari mana portal ini datang. Mungkin ada portal (laporkan Muhyiddin pertahan subsidi kepada warga asing), mungkin (ada), saya tak tahu,” kata Johari.

Bagaimanapun, Muhyiddin membalas bahawa MCMC sepatutnya memulakan siasatan terhadap Anwar terlebih dahulu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat